Penyanyi dan pelakon Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari kesal dengan sesetengah individu yang suka merendah-rendahkan orang lain.

Azza yang baru dilantik menjadi duta pewangi Deedat Air Care baru-baru ini berkata, sudah lumrah manusia tidak boleh melihat kesenangan atau kebahagiaan orang lain.

“Ramai yang cakap saya terima pelawaan daripada Deedat ni sebab dah tak ada pilihanlah, artis second classlah…

“Saya tak ada masa nak pedulikan kata-lata negatif orang sebab bagi saya kalau fikirkan tentang itu, memang tak hiduplah kita.

“Terus-terang saya cakap saya menerima tawaran pihak Deedat kerana bayaran yang mereka berikan, profesionalisme mereka dan produk itu sendiri,” katanya kepada Gempak.

Tambah Azza lagi dia juga tidak kisah jika ada yang menganggapnya mata duitan kerana sering menerima tawaran untuk menjadi duta produk tempatan tanpa memilih.

“Macam inilah, peluang yang datang kepada kita itu kan rezeki daripada Allah SWT. Bila orang offer saya terima sahaja.

“Itu rezeki saya dan anak serta keluarga. Kalau jadi duta pewangi pun orang nak mengata, katalah…Asalkan sumber rezeki saya halal.

“Kalau kita susah orang yang cakap banyak sangat tu, tak tolong pun kita. Saya hanya berdoa agar rezeki saya tak putus supaya boleh bantu ibu dan bapa saya juga,” katanya positif.

Dalam pada itu Azza berharap penglibatannya dengan Deedat Air Care dapat memberi kesedaran kepada orang lain untuk menggunakan produk yang menggunakan bahan semulajadi.

“Deedat ini bebas toksin dan lebih selamat untuk dihidu terutama kanak-kanak. Yang penting ia sesuai diletakkan di mana-mana bukan kereta sahaja,” katanya teruja.

Dalam perkembangan lain, Azza kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama untuk slot Samarenda TV 3 berjudul Syurga Untukmu, Telemovie Kontra untuk siaran RTM serta parodi MeleTop.

Disamping itu, Azza juga sibuk sebagai pengacara lokasi Cik B Vaganza Food Festival sepanjang tahun ini.