Jadi Duta Sebab Bayaran Lumayan? Ini Jawapan Mira Filzah!

Hanafis Haris
September 24, 2019 10:20 MYT
Pelakon, Mira Filzah menafikan dakwaan mengatakan dia memilih bayaran berbanding keberkesanan produk sebelum menjadi duta bagi sesuatu jenama.
Menurut Mira, apa jua syarikat atau jenama yang cuba 'melamarnya' sebagai duta perlulah memberi produk mereka terlebih dahulu.
"Mira sangat titik beratkan keberkesanan produk itu. Untuk jadi duta kita kena tahu tentang produk itu, kena sayang dan guna betul-betul.
"Seperti telefon pintar Honor ini, saya minta mereka beri dulu saya cuba, barulah saya buat keputusan," katanya.
Tambah Mira, sebagai duta produk juga, dia akan menggunakan ciri dan fungsi yang ada sepenuhnya.
"Saya tidak hanya jadi duta semata-mata tapi saya guna fungsi yang ada dalam produk tersebut," katanya.
Mira ditemui ketika sesi beramah mesra bersama peminat di premis jualan Honor, Sunway Piramid, baru-baru ini.
Dalam program tersebut, Mira meluangkan masa hampir satu jam mendekati peminat dengan lebih dekat.
Tidak ketinggalan, Honor turut memperkenalkan Honor 20 Pro dalam varian warna terbaru iaitu Icelandic Frost.
Untuk pengetahuan anda, Mira merupakan pelakon yang memegang watak sebagai jururawat dalam filem Sangkar.
Filem ini menonjolkan keistimewaan dengan mengetengahkan sukan seni bela diri campuran (MMA) buat pertama kalinya dalam sejarah pembikinan filem di Malaysia.
Bukan itu sahaja, Sangkar juga turut memaparkan elemen persahabatan, kekeluargaan, agama dan banyak lagi
Sangkar dibintangi oleh Remy Ishak, Zul Ariffin, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Sangkar yang masih ditayangkan di 108 pawagam seluruh negara.
Selain itu, Sangkar turut ditayangkan di Brunei dan Singapura, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
#Gajet #Honor #Mira