Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Jadi Mangsa Buli, Ani Mayuni Tukar Anak Ke Sekolah Lain

Fiza Kamarudin
07/05/2019 16:05 MYT
Susulan kes buli melibatkan anak sulungnya dua bulan lalu, penyanyi Ani Mayuni bertindak menukarkan anaknya ke sekolah lain.

Ani ketika ditemui berkata, dia bimbang sekiranya anak sulung, Wirda Viviana Zairi, 14, mengalami kemurungan berterusan dan tidak mahu ke sekolah.

“Saya tak mahu mendera emosi anak. Jadi keputusan terbaik adalah tukarkan anak ke sekolah lain, saya tidak mahu kejadian lalu mematahkan semangat dia ke asrama dan sekolah.

“Mungkin minggu hadapan saya akan sibuk dengan proses penukaran sekolah Wirda. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan buat masa ini,” katanya.

Mac lalu tular di media sosial mengenai anak penyanyi dan pelakon tersebut dibuli pelajar senior di asrama.

Wirda dikatakan cedera dengan beberapa kesan lebam di badan dan pinggang akibat ditampar serta disepak berulang kali oleh beberapa pelajar senior.

Pelajar tingkatan dua yang bersekolah di sekolah berasrama Titiwangsa itu juga telah ditutup mulutnya dengan kain.

“Apa-apa pun saya bersyukur kerana anak akhirnya buka mulut, jika tidak tak tahulah…”, ujarnya.

Ani turut membuat laporan di Balai Polis Setapak selepas mendapatkan laporan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur, 3 Mac lalu.

Ani ditemui di Hotel Royal, Kuala Lumpur ketika mengadakan persembahan berbuka puasa bersama penyanyi popular dengan lagu ‘No No No’, Kelly Azman, petang Selasa.

“Alhamdulillah, ini tahun ketiga saya bersama Hotel Royal dan sabahat Kelly Azman untuk persembahan Ramadan.

“Hari ini baru hari pertama dan nampaknya sambutan agak menggalakkan seperti tahun-tahun terdahulu.

“Mungkin kerana juadah berbukanya yang enak dengan harga berpatutan. Lagi-lagi tahun ini bertemakan masakan kampung, yang kita tahu memang ramai peminatnya,” kata Ani.




#Anak #Ani Mayuni #Buli
;