Hiburan
Jadi Pelakon Tak Seindah Disangka - Zara Zya
Disebalik penampilan yang menarik untuk tontonan peminat di kaca televisyen, aktres Zara Zya mengakui menjadi seorang pelakon tidaklah seindah yang disangka.
“Menjadi seorang pelakon tak seindah yang disangka. Jika dihadapan peminat, kerjaya sebagai seorang pelakon kadangkala dianggap mudah dan hebat kerana dipakaikan busana yang menarik dan disolek cantik.
“Sejujurnya, menjadi seorang pelakon memerlukan komitmen yang tinggi. Pelakon bekerja kuat untuk menjayakan sesuatu watak. Sebelum menjayakan sesebuah karakter, pelakon harus membuat kajian agar watak dibawakan berkesan.
“Orang hanya melihat hasil sesebuah drama dan telefilem tetapi proses pembikinan itu memakan masa yang lama dan kadang-kadang memenatkan. Namun begitu, saya bersyukur kerana masih diberikan rezeki untuk bertahan dalam bidang seni.
“Bidang lakonan memang menjadi minat saya dan saya suka apa yang saya buat. Rezeki lakonan juga sentiasa ada dan tidak putus. Alhamdulillah, saya juga telah mula menjalankan perniagaan,” kata Zara kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Tuan Anas Mikael ini turut mengakui kepentingan media sosial terhadap pelakon di zaman kini.
“Jika kita lihat artis zaman dahulu, mereka agak ‘mahal’ kerana peminat sentiasa menantikan kemunculan mereka di kaca televisyen atau di panggung wayang. Orang luar tidak tahu apa yang mereka buat pada hari-hari biasa.
“Semuanya berbeza dengan artis zaman kini. Dengan wujudnya Internet dan perkembangan pesat media sosial, semuanya dihujung jari. Penting untuk seorang artis itu memuatnaik perkembangan terkini di laman sosial mereka untuk mendekatkan diri dengan peminat.
“Pada masa yang sama, artis juga berperanan untuk memberikan contoh yang baik kepada peminat menerusi media sosial supaya menjadi ikutan. Namun begitu, saya percaya yang semua perkara yang dimuatnaik dan dikemaskini di laman sosial harus ada batasan,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016) baru-baru ini.
Telefilem lakonan Zara bersama Johan As'ari dan Saidi Sabri, Hujan Malam Itu tercalon dalam kategori Drama Terbaik.
ASK 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November ini, bermula jam 9.00 malam di TV3.
Teks Oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video