Jadi Pengacara Rockanova, Alif Satar & Sherry Tak Sabar Nak Beraksi

Syafiqah Jalal
Mac 21, 2017 10:37 MYT
Pelakon dan pengacara Alif Satar dan Sherry Alhadad diumumkan sebagai hos program terbaru Astro, Rockanova.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata pemilihan dua selebriti itu dilakukan berdasarkan pengalaman mereka mengendalikan program-program yang bersiaran secara langsung.
"Sebelum ini Alif telah membuktikan keupayaannya mengawal pentas dengan baik ketika bergandingan bersama Zizan Razak untuk Akademi Fantasia.
"Sherry pula sebelum ini pernah dilantik sebagai hos untuk acara berprestij seperti Anugerah Planet Muzik.
"Saya percaya pemilihan Alif dan Sherry mampu penghidupkan suasana pentas Rockanova dengan kaletah mereka yang bersahaja," katanya ketika sidang media pengumuman barisan peserta dan pengacara Rockanove bertempat di TREC, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Dalam pada itu, Alif menyatakan rasa berbesar hati kerana dipilih untuk mengendalikan program berkenaan.
"Saya tak sangka pun dipilih dan apa yang pasti saya tak sabar untuk mulakan program tersebut.
"Bergandingan dengan Sherry saya rasa tak ada masalah kerana dia merupakan seorang yang menyenangkan," ujarnya.
Sementara itu, 10 barisan peserta Rockanova turut diperkenalkan dalam sidang media tersebut.
Lima peserta lelaki yang terlibat ialah Pijoe, 27, Erman, 32, JR, 27, Ozil, 30 dan Eme, 31.
Manakala lima peserta peserta wanita pula terdiri daripada Mel, 33, Dayah, 25, Zarith, 24, Dian, 36 dan Yan, 32.
Rockanova bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB bermula 29 Mac ini.
Program tersebut boleh ditonton setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi Saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
Teks oleh: Mya Amri
#Alif Satar #Rockanova #Alhadad #Sherry