Hiburan
Jadi Penyampai Radio, Ajak Minta Tunjuk Ajar Johan
Pelawak Ajak Shiro mengaku bertemu dengan Johan untuk meminta tunjuk ajar tentang bidang penyiaran radio.
Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak berkata, 29, dia bertemu Johan untuk meminta pendapat mengenai kerjaya sebagai penyampai radio.
“Johan ada beri saya tips untuk bergerak bertiga di konti. Saya sendiri tidak menyangka Johan sudi berkongsi dan membantu saya.
“Selain itu Johan turut memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya berani mencuba bidang baru ini kerana katanya, rezeki hanya datang sekali sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Ajak lagi, dia berani untuk mencuba kerjaya sebagai penyampai radio setelah melihat rakan-rakan pelawak lain berjaya menempa nama dalam bidang itu.
“Saya melihat ramai rakan-rakan pelawak menjadi penyampai radio dan mereka ‘enjoy’. Jadi, tidak salah rasanya jika saya turut mencuba dan Insyaallah, saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Walaupun pada awalnya saya sedikit gementar ketika berada di konti, tapi atas tunjuk ajar kawan-kawan di Hot FM, saya tidak kekok lagi dengan suasana di konti,” ujarnya yang mengendalikan Geng Pagi Hot bersama Haziq dan Fizie di stesen radio Hot FM.
Dalam perkembangan lain, Ajak juga merupakan peserta Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) bergandingan bersama Tauke dan Angah menerusi kumpulan LOL.
“Walaupun kini tugas saya semakin bertambah, komitmen untuk MLM 2016 tidak saya abaikan. Saya juga akan buat yang terbaik untuk penyokong LOL di MLM 2016,” katanya.