Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jadi Pilihan Untuk Konsert David Foster & Friends, Impian Datuk Sri Siti Nurhaliza Jadi Kenyataan

Maliah Surip
07/06/2023 15:40 MYT
Jika mahu mendabik dada, Datuk Sri Siti Nurhaliza boleh melakukan itu mengenangkan ratusan anugerah dari dalam dan luar negara yang telah dimenangi bersama ratusan hit nyanyiannya yang sentiasa menjadi siulan.

Puspita hati Malaysia ini juga telah terlibat dengan ratusan persembahan pentas sekaligus mencetak sejarah buat negara dan peribadi.

Kini pada usia karier lebih 25 tahun, kerjaya Siti masih konsisten dan beliau tetap digelar penyanyi nombor satu negara. Bagaimanapun Siti kekal dengan sikap rendah diri.



Maka tidak hairan apabila komposer dan penyanyi tersohor dunia, David Foster melamar Siti untuk menjadi satu-satunya penghibur tempatan yang menyertai Konsert David Foster & Friends.

Bukan hanya satu lokasi iaitu di Malaysia yang dijadual berlangsung 7 Ogos di Mega Star Arena, Siti tetap menjadi pilihan Foster untuk menghiburkan peminat di Singapura pada 8 Ogos depan.

“Ini bagaikan mimpi jadi kenyataan, impian jadi kenyataan. Saya akan menyanyi bukan hanya di Malaysia tetapi juga Singapura,” katanya pada sidang media Konsert David Foster & Friends yang diadakan di Heritage Club, The Royale Chulan, Kuala Lumpur pagi tadi.

Siti kemudian melanjutkan bicara dengan mengatakan: “Sebenarnya jika diikutkan ini akan menjadi persembahan kedua saya bersama David Foster.

“Saya pernah bekerjasama dengan beliau sekitar sembilan tahun lalu menerusi acara Formula One.

“Sejak itu saya berdoa janganlah ia menjadi kerjasama pertama dan terakhir. Dan setelah pernah tidak berkesempatan menerima lamaran beliau untuk bersama di Indonesia beberapa tahun lalu, kini rezeki saya akhirnya datang.

“Jadi saya tidak akan sia-siakan peluang ini apalagi Konsert David Foster & Friends turut disertai oleh penyanyi antarabangsa yang hebat seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Katharine Hope McPhee dan Loren Allred.

“Saya terasa sangat kecil apabila diberi peluang berganding dengan mereka kerana saya belum lagi terkenal sampai ke peringkat antarabangsa, tapi saya akan gunakan platform ini dengan baik."

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)


Bercakap mengenai jumlah lagu yang bakal dibawa, Siti berkata beliau diberi kesempatan mendendangkan dua buah tembang.

“Dua lagu. Satu lagu milik saya sementara satu lagi lagu David Foster. Dan bertuahnya saya apabila diberi peluang untuk memilih lagu Foster untuk didendangkan kelak. Cuma buat masa ini, biar saya simpan dulu apa lagunya. Yang pasti lagu saya adalah lagu balada,” dedah Siti.

Konsert David Foster & Friends yang dijangka hangat dibawakan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN). Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato Mohd Aizuddin Ghazali, konsert tersebut merupakan penganjuran pertama kali berskala daripada pihak mereka.

Objektif mereka adalah berhibur sambil beramal justeru itu sebahagian besar kutipan yang diperoleh akan disalurkan kepada yayasan untuk membantu anak-anak Malaysia Madani di menara gading dan golongan asnaf.

Tiket berharga RM288, RM388, RM488, RM688, RM788 dan RM988 boleh dibeli menerusi www.myticket.asia.
#Konsert #Siti Nurhaliza #David Foster #Michael Bolton #Katharine Hope McPhee #Loren Allred #Peabo Bryson
;