Laman Utama
Jadi Playboy & Panas Baran Dalam Andai Itu Takdirnya, Irfan Zaini - “Saya Sedia Dibenci Penonton”
Pelakon, Irfan Zaini sudah bersedia andai kata dirinya akan dibenci dan dikecam penonton hanya kerana memainkan watak antagonis bernama Jay dalam drama popular berjudul Andai Itu Takdirnya.
Menurut Irfan atau nama sebenarnya, Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 28, dia bersikap terbuka dengan penerimaan penonton terhadap lakonannya sebagai seorang playboy dan juga panas baran.
“Saya harap selepas watak Jay muncul dalam drama Andai Itu Takdirnya, penonton tidak membenci saya. Namun, jika penonton membenci maknanya lakonan saya berjaya.
“Watak saya antagonis, panas baran lebih kurang sama dengan watak Syed Azril lakonan Shukri Yahaya, jadi saya harus bijak membezakan lakonan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Irfan juga turut berkongsi cabaran dan juga kelainan yang cuba diberikan olehnya menerusi watak Jay.
“Penggambaran dilakukan pada bulan puasa, cuaca begitu panas dan saya perlu memakai jaket kulit sepanjang masa.
“Memang cukup mencabar, tetapi saya lakukan yang terbaik demi watak Jay. Saya juga mahu menjadi seorang pelakon yang versatil.
“Sebab itu saya mengambil inisiatif dalam drama ini dengan menggubah bahasa tubuh dan juga penampilan supaya penonton dapat melihat sisi Irfan yang berbeza.
“Sebagai pelakon baru saya bersyukur apabila mendapat peluang bergandingan dengan barisan pelakon popular. Sepanjang di set semua sangat membantu dan mereka semua sangat merendah diri.
“Diharap drama Andai Itu Takdirnya dapat membuka ruang lebih besar untuk saya dalam bidang lakonan selepas ini,” ujarnya.
Selain Irfan, Andai Itu Takdirnya juga dibintangi pelakon popular Shukri Yahaya, Hanna Delisha, Idzham Ismail, Puteri Sarah Liyana, Atikah Suhaime, Fahrin Ahmad, Hariz Hamdan dan Dayang Areeda.
Saksikan Andai Itu Takdirnya drama adaptasi novel tulisan Siti Rosmizah yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).
Must-Watch Video