Hiburan
"Jadi Pramugari Ajar Saya Bersabar, Berkomunikasi Lebih Baik" - Ziana Zain
Penyanyi lagenda, Ziana Zain berkongsi pekerjaan lama iaitu seorang pramugari telah banyak mengajarnya tentang nilai kesabaran, cara melayan orang dengan betul, dan membentuk kemahiran komunikasi yang baik.
Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 56, mengakui dia banyak belajar menangani pelbagai situasi khususnya dalam aspek kesabaran dan layanan terhadap orang lain.
“Ketika saya menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan, di situlah saya belajar erti kesabaran dan mempelajari cara melayan penumpang dengan betul,” katanya.
Tambahnya lagi, penyanyi yang terkenal dengan lagu Madah Berhelah itu menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada syarikat penerbangan tersebut kerana pengalaman menjadi seorang pramugari telah memberikannya peluang untuk mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan baik.
Jelas Ziana, pengalaman tersebut amat berharga baginya kerana ia telah membentuk dirinya menjadi lebih mahir dalam mengawal situasi ketika berinteraksi dengan peminat.
undefined
“Saya sangat berterima kasih kepada Malaysia Airlines kerana mengajar saya cara berkomunikasi dengan baik, termasuk dalam reaksi dan intonasi suara, serta bagaimana untuk meyakinkan dan menenangkan orang lain.
“Pengalaman itu banyak membentuk kemahiran saya hingga ke hari ini. Setiap kali saya bertemu dengan orang, termasuk peminat yang mungkin gugup, menangis, atau marah, saya sudah tahu cara terbaik untuk berinteraksi dan menangani situasi tersebut dengan baik,” kongsinya.
Sekadar info, Ziana Zain pernah berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) selama tiga tahun.
Kemudiannya, Ziana menyertai dan memenangi pertandingan nyanyian iaitu Bintang Selangor pada tahun 1984. Sejak itulah, dia mula menapak diri dalam indsutri muzik Malaysia sehingga ke hari ini.