Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Jadi Sukarelawan Urus Pesakit COVID-19, Harris Annuar Akui Sebak Tengok Ramai Golongan Berkeluarga - "Ada Anak Kecil Yang Negatif Tetapi Terpaksa Dibawa Sekali ..."

Zulaikha Yusof
04/07/2021 08:02 MYT
Pelakon Harris Annuar, 28, berbesar hati apabila dapat bersama-sama membantu kakitangan IMAM Response & Relief Team dengan menjadi sukarelawan di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Sabtu.

Menurut Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris Shahrul Annuar berkata Stadium Malawati menjadi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan di situ juga untuk individu yang ingin potong gelang selepas selesai tempoh 14 hari kuarantin.

"Saya sendiri rela untuk jadi sukarelawan. Sebenarnya dah lama mereka ajak saya untuk sertai cuma masa tak mengizinkan. Saya berada di sana sejak 7.30 pagi sampai 12.00 tengah hari.

"Dekat sana memang semua pesakit positif, ada yang baru dijangkiti dan ada juga datang untuk potong gelang. Yang pesakit baru mereka datang untuk ambil assessment daripada frontliners," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah bekas peserta Hero Remaja 2017/2018 ini lagi, dia berasa sebak melihat golongan berkeluarga yang paling ramai hadir selepas disahkan positif.

"Dekat Malawati memang ramai sangat orang, semalam saja dah 1,600. Saya rasa sebak dan sedih apabila melihat ibu bapa datang bersama anak-anak mereka.

"Saya nampak ada seorang anak kecil ini yang negatif tetapi terpaksa dibawa sekali bersama ibu bapanya kerana tidak ada orang lain yang boleh tolong jagakan," katanya.

Adik kepada pengacara Nadia Annuar ini juga akui tidak mudah untuk bekerja dengan memakai Personal Protective Equipment atau singkatannya adalah PPE.

"Saya respect dengan frontliners yang pakai PPE sepanjang bekerja. Memang panas lagi-lagi masa pukul 11 hingga 12 tengah hari.

"Bila saya buka PPE tu, tangan saya sampai dah kecut. Itu baru separuh hari saya pakai, bayangkan frontliners kita yang kerja siang malam," katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon yang popular dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan ini menyatakan dia dapat selami perasaan pesakit Covid-19 ketika itu saat memandang riak wajah mereka.

Katanya, reaksi yang sama juga timbul sewaktu dia disahkan positif Covid-19 pada awal Januari lalu.

"Saya dapat nampak riak wajah mereka yang sedang berasa takut dan gementar. Situasi yang mereka sedang alami itu sama dengan perasaan saya masa awal-awal disahkan Covid-19.

"Ketika itu, dalam otak dah berlegar-legar sama ada saya sudah susahkan keluarga dan kawan-kawan. Kita pun tak minta untuk dapat Covid.

"Saya nasihatkan untuk orang di luar sana, tolong ambil vaksin kerana ia melibatkan ramai orang bukan semata untuk diri sendiri. Jadi manusia yang bertanggungjawab," katanya lagi.

Sebelum ini, Harris dilaporkan positif Covid-19 selepas beberapa hari pulang bercuti dari Pulau Langkawi pada 4 Januari lalu.

BACA: Harris Annuar Sah Positif Jangkitan Covid

#Harris Anuar #Sukarelawan #COVID-19 #Pesakit #Stadium Malawati
;