Hiburan
Jadual Kerja Padat, Ajak Hanya Tidur Tiga Jam Sehari
Pelawak Ajak Shiro akui waktu tidurnya semakin berkurangan disebabkan jadual kerjanya yang padat selepas bergelar penyampai radio.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, 32, dia perlu bangun seawal jam 4.30 pagi sebelum memulakan tugasannya di Hot.fm.
“Bukan mudah nak bahagikan masa antara penyampai radio dan juga pelawak, lebih-lebih lagi saya merupakan peserta untuk program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017).
“Sebagai penyampai, saya perlu bangun pada jam 4.30 pagi dan harus sampai ke konti sejam awal sebelum ‘on air’.
“Kemudian habis sahaja kerja, saya perlu bertemu Shahrol pada waktu petang untuk perbincangan dan juga latihan MLM2017. Kadang-kadang kami akan pulang pada jam satu atau dua pagi.
“Bila ada kerja begini waktu tidur saya tidak menentu dan hanya sempat terlelap selama tiga hingga empat jam sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.
Ajak ditemui ketika majlis lepak santai bersama penyampai Hot.fm dan Kool.fm bertempat di Sime Darby Convention Centre baru-baru ini.
Ajak mengendalikan Segmen Geng Pagi di Hot.fm bersama Shuk dan Fizie bermula pada jam 6 hingga 10 pagi.
Dalam pada itu, Ajak juga menjelaskan disebabkan perkara itu dia terpaksa menolak tawaran bekerja pada hujung minggu untuk meluangkan masa bersama keluarga.
“Bila sibuk saya rasa paling kesian pada anak-anak, setakat ini mereka masih okay cuma saya sebagai bapa rasa tak berapa sedap bila kurang masa dengan mereka.
“Sebab itu saya tolak kalau ada tawaran yang memerlukan saya bekerja pada Sabtu dan Ahad kerana bagi saya hari tersebut merupakan hari cuti bersama keluarga.
“Saya bukan merungut, inilah yang dikatakan rezeki anak-anak dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi penyampai radio dan juga sertai MLM2017,” jelasnya.
Terdahulu, Ajak telah berkahwin dengan Afifah dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Mohd Jad Thaqif, 7, Mohd Had Thaqif, 4, dan Nada Soffea, 2.
Teks oleh: Mya Amri