Laman Utama
Jaga Disiplin, Kualiti & Pergaulan Semasa Di Set Lakonan, Aidil Aziz Banyak Ambil Inspirasi Daripada Fasha Sandha
Aktor Aidil Aziz mengakui menjadikan isterinya, aktres jelita Fasha Sandha sebagai inspirasinya untuk kekal berdisplin dan menjaga kualiti lakonan di dalam industri seni tanah air.
Menurut Aidil atau nama lengkapnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 35, segala kualiti terbaik yang dimiliki oleh isterinya sedikit sebanyak menjadikan aktor kelahiran Selangor ini seseorang individu yang lebih maju.
“Sebagai pelakon, itu yang memang kita kena jaga. Disiplin, kualiti dan pergaulan. Memandang isteri saya seorang yang sangat menjaga disiplin, so far alhamdulillah itu adalah inspirasi saya untuk menjadi lebih baik,” ujar Aidil ketika ditemubual.
Aidil ditemui pada majlis sidang media pelancaran drama bersiri Tumpang Lalu Bang yang berlangsung secara maya pada Selasa.
Drama bersiri 28 episod itu diterbitkan oleh Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd arahan Eon Shuhaimi yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Tomok, Ziana Zain, Raja Afiq, Kilafairy, Black, Qi Razali dan ramai lagi.
Tambah bapa kepada seorang anak ini, dia belum pernah tiba lambat ke lokasi penggambaran drama bersiri berkenaan lantaran amat menitikberatkan isu masa.
“So far alhamdulillah takde pula saya dengar di set ni saya lambat. Sangat penting untuk kita menjaga disiplin, itulah yang membuatkan kita bertahan dalam industri.
“Kadang-kadang kita berlakon bagus, kita punya kualiti time dan pergaulan kat set tak bagus, itu boleh buat pihak produksi tak selesa dengan kita.
“Kita kena bijak dalam industri ni, bukan sahaja lakonan tetapi nyanyian juga. Kita kena letak diri kita ni di tengah-tengah la, jangan terlalu over, jangan terlalu kurang,” jelasnya lagi.
Imbas kembali, Aidil mendirinya rumah tangga dengan Fasha Sandha, 38, pada Mac 2019.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Aisha Amaira yang dilahirkan pada 7 Ogos tahun lalu.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Fasha dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu, Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram, 9, dan Putri Raysha Jemyma, 8.