Pengguna jalan raya boleh dikenakan saman sebanyak RM2,000 jika didapati bersalah membeli produk yang dijual di kawasan lampu isyarat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aktiviti perniagaan itu merupakan satu kesalahan kerana bukan sahaja membahayakan penjual, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

“Menerusi Ops Kesedaran, Polis Johor telah mengenal pasti sebanyak 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di lampu isyarat seluruh Johor.

“Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan tetapi juga pembeli yang mana mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas mengikuti Op Khas – Ekzos Bising yang diadakan di Taman Kota Masai, pada Isnin.

Antara lokasi yang dikenal pasti termasuklah di lampu isyarat pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, lampu isyarat Kempas Baru-Pasir Gudang, lampu isyarat Taman Cempaka dan lampu isyarat Jalan Kulai-Kota Tinggi.

Tambah beliau, peniaga khususnya dinasihatkan agar mencari kaedah jualan lain yang bukan sahaja lebih selamat tetapi mengikut lunas peruntukan undang-undang negara.

“Nasihat saya, carilah kaedah atau lokasi lain yang lebih sesuai untuk menjalankan perniagaan dan jangan sampai membahayakan,” ujarnya.

Ayob Khan bagaimanapun memberitahu setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan terdapat mana-mana insiden kemalangan melibatkan aktiviti perniagaan di lampu isyarat.

Sumber: K! ONLINE
Gambar Hiasan Carian Google