Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

“Jaga Zuriat Perlu Tanggungjawab Besar Bukan Macam Jaga Kucing” - Hannah Delisha

Shahrin Zulkifle 01/03/2023 | 08:00 MYT

Memasuki tahun ketiga mendirikan rumah tangga, pelakon Hannah Delisha mendedahkan dia dan suami, Imam Shah pernah berbincang untuk memiliki zuriat.

Bagaimanapun kata Hannah, 26, untuk memiliki zuriat bukan satu perkara yang mudah kerana ia menuntut persediaan dan tanggungjawab yang tinggi untuk bergelar ibu bapa.

“Saya dan Imam pernah berbincang mengenai zuriat. Kami memang merancang, bukan kahwin terus nak beranak. Tanggungjawab sangat besar untuk pikul jika bergelar ibu bapa, tetapi berbalik kepada keizinan Allah.

“Untuk jaga zuriat memerlukan satu tanggungjawab yang besar, bukan macam menjaga kucing. Malah untuk jaga kucing itu pun tanggungjawab berat sebab nak beri makan, minum dan sebagainya.

“Saya dan suami mahu pastikan apabila kami berdua sudah betul-betul bersedia, Insya-Allah akan sampai waktu itu. Kerana pada saya apabila ada anak, saya perlu beri fokus penuh dan kasih sayang pada dia,” katanya kepada Gempak.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu lakonanya berjudul Andai Itu Takdirnya yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa.

Ditanya mengenai jumlah anak yang ingin dimiliki, aktres tersebut menjawab dia dan suami merancang untuk memiliki sepasang anak. Namun tidak menolak rezeki jika diberikan lebih.

“Saya sangat terkejut apabila lihat ada ibu di luar sana yang masih bekerja dalam masa sama perlu jaga anak, itu bukan hal yang mudah.

“Pernah berborak dengan suami, kalau molek dapat seorang lelaki dan perempuan, sepasang. Tengok pada rezeki Allah, kalau dapat lebih dalam empat orang pun alhamdulillah,” tambahnya.

Selain Hannah, Andai Itu Takdirnya turut dibintangi pelakon Shukri Yahaya, Puteri Sarah, Idzham Ismail, Dayang Areeda, Zulkifli Ismail dan ramai lagi.

Sinopsis:

Aleya yang berasal dari keluarga yang sederhana meminati salah seorang rakan kolejnya iaitu Syed Adam Aizril. Syed Aizril dikenali dalam kalangan wanita kerana ketampanannya dan dia juga anak kepada seorang tokoh korporat. Aizril sudah biasa dengan gaya hidup kaya dan sentiasa memandang rendah terhadap orang lain.

Tanpa disangka, berlaku satu kejadian yang menyatukan Syed Aizril dan Aleya. Aleya memulakan kehidupan baharunya sebagai seorang isteri tetapi malangnya Syed Aizril menyeksa hidupnya. Tidak lama selepas itu, Syed Aizril ditimpa kemalangan. Ia mengubah hidupnya dan dia menyesali semua kesalahannya terhadap Aleya.

Perkahwinan Syed Aizril dan Aleya tercabar sekali lagi apabila Syed Aizril jatuh cinta pada Sharifah Emilin yang muncul secara tiba-tiba dalam hidupnya. Janjinya terhadap Aleya mudah dilupakan. Pada ketika ini, perasaan Aleya terhadap Syed Aizril sudah hilang sepenuhnya. Hidupnya kini hancur kerana egonya. Patutkah Aleya beri peluang sekali lagi kepada Syed Aizril?

Saksikan Andai Itu Takdirnya yang akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 6 Mac 2023, jam 10.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

#Anak #Astro Ria #Drama #Mengandung #Hannah Delisha #Imam Shah #Andai Itu Takdirnya
;