Jaga-Jaga Influencer & TikToker, LHDN Sedang Memerhati - “Ini Sebagai Peringatan Bukan Amaran”
Asyikin Mayudin
18/03/2023 09:45 MYT
18/03/2023 09:45 MYT
Lembaga Hasil Dalam Negeri, LHDN sasar 50,000 pembayar cukai akan tampil dalam program pengakuan sukarela khas SVPD 2.0 mulai 1 Jun nanti hingga akhir tahun depan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi antara kumpulan yang diharap dapat tampil adalah pemilik perniagaan yang bermula kecil dan telah berkembang dan layak membayar cukai.
Ini selain golongan individu dan syarikat yang tidak pernah melaporkan pendapatan mereka sebelum ini.
Penekanan turut diberi kepada golongan Influencers dan TikTokers yang meraih pendapatan melalui perkhidmatan mereka dalam talian.
“Oleh kerana mereka bergiat secara terbuka di khalayak ramai, kami memerhati, ini sebagai peringatan bukan amaran, bahawa lembaga hasil (LHDN) nampak apa yang berlaku, tampil kehadapan, ini peluang terbaik dalam SVPD 2.0,” kata Datuk Mohd Nizom kepada Buletin TV3 dan Bernama selepas forum Deloitte TaxMax – The 48th series.
Jelasnya pendapatan Influencers dan TikTokers boleh dinilai secara jelas melalui jumlah pengikut selain tontonan kandungan yang telah dimuat naik atas talian.
LHDN juga telah melaksana inisiatif untuk mengadakan sesi libat urus bersama golongan ini bagi memahami dan mendapatkan maklum balas daripada mereka.
“Kami sebenarnya ada inisiatif bersama mereka dan dapat maklum balas bentuk pendapatan yang mereka terima, kami telah beri nasihat, untuk tampil dan laporkan pendapatan mereka,” katanya.
LHDN juga difahamkan telah membentuk satu unit khas bagi mengenal pasti golongan terbabit.
Untuk rekod, SVPD 2.0 ini diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program ini membolehkan pengampunan ke atas penalti 100 peratus terhadap cukai langsung dan tidak langsung yang tidak dibayar membantu menambah hasil kerajaan selain memberi manfaat kepada pembayar cukai yang ingin memanfaatkan inisiatif tersebut.
Sumber - BuletinTV3