BERITA

Jaga-Jaga Jerebu Kembali, IPU Tak Sihat Dicatat

Gempak 19/07/2025 | 06:25 MYT
Stesen pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Port Dickson mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat (100) setakat jam 1 tengah hari tadi.

Tinjauan di Seremban mendapati keadaan di sekitar daerah ini berjerebu dan terkesan bau asap seperti hasil daripada pembakaran selain cuaca panas meningkatkan lagi risiko kesihatan.

Bagaimanapun, orang ramai dilihat masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa memakai pelitup muka.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, situasi itu adalah kesan langsung daripada peningkatan aktiviti titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

"Fenomena ini diburukkan lagi oleh cuaca kering yang melanda sebahagian besar wilayah termasuk bahagian tengah dan selatan semenanjung Malaysia serta tiupan angin barat daya.

"Musim Monsun Barat Daya bermula sejak Jun 2025 dan dijangka berterusan sehingga September. Cuaca kering berpanjangan diramalkan di Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil," katanya, hari ini.

Jelas beliau, kepulan asap setempat dan peningkatan titik panas dijangka berlaku di kawasan yang terdedah kepada kebakaran, terutamanya ladang gambut dan kawasan belukar.

Tambahnya, cuaca kering berpanjangan dijangka di Semenanjung Malaysia dan sebahagian besar Sumatera, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil meningkatkan risiko kebakaran terbuka.

"Penduduk berisiko terdedah kepada zarah halus (PM2.5) yang boleh menjejaskan kesihatan pernafasan, terutama golongan warga emas dan kanak-kanak.

"Saya menyeru semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara dan kesihatan awam.

"Sebarang aduan berhubung aktiviti pembakaran terbuka boleh dikemukakan kepada JAS dan diminta memantau bacaan IPU melalui portal rasmi JAS serta mengurangkan aktiviti luar jika bacaan IPU melebihi paras tidak sihat," katanya.

Sumber: Harian Metro, Business Today, Bernama
#Port Dickson #Jerebu #Seremban #IPU #Pembakaran #Titik Panas