"Jagalah Anak Tiri Tanpa Harap Apa-Apa" - Faezah Elai Akui Jadi Ibu Tiri Bukan Mudah

ZULHILMI JALIL
September 21, 2020 09:44 MYT
Pelakon Faezah Elai mengakui bergelar ibu tiri mempunyai cabaran tersendiri terutamanya apabila perlu berdepan dengan pelbagai persepsi umum dengan status tersebut.
Ini kerana, menurut Faezah, kredibiliti seseorang ibu tiri sering dipertikai sekiranya terjadi sesuatu hal terhadap anak yang dijaga.
"Menjadi ibu tiri bukan satu tugas yang mudah. Sering disalah faham oleh masyarakat, peranannya kurang diiktiraf.
"Jika sesuatu berlaku dengan anak tiri, andalah akan dipersalahkan. Masyarakat akan kata 'duduk dengan mak tiri macam tu lah, mana sama macam duduk dengan mak sendiri. Mesti stres dengan mak tirilah tu'.
"Namun, jika mereka berjaya, semua kredit akan ditujukan kepada ibu kandung. Depa akan kata, 'Tengok, walaupun dia ibu tunggal, tetap berjaya didik anaknya. Wanita tabah!'. Walau hakikatnya anak-anak duduk dengan mak tiri," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Begitupun, kata Faezah, apa yang dikongsikannya itu tidak ada kena mengena dengan kisah dirinya yang selama ini turut membesarkan tiga orang anak tiri.
"Jangan salah sangka, saya tidak bercakap mengenai kehidupan saya. Saya bertuah mempunyai tiga anak angkat yang sangat memahami. Ya, saya sudah menjaga anak-anak tiri saya sejak saya berkahwin.
"Saya amat menghormati perasaan ibunya, dan sebab itulah saya tak pernah berkongsi apa-apa pun mengenai anak tiri saya," katanya.
Begitupun, katanya, ibu tiri juga berhak menerima penghormatan sama seperti seorang ibu kandung.
"Ibu tiri berhak menerima penghormatan sama seperti ibu lain. Mereka curahkan masa, tenaga dan kasih sayang kepada anak yang mereka sendiri bukan lahirkan.
"Jadi, kepada ibu-ibu di luar sana, jika anak anda mempunyai ibu tiri yang menjaga mereka, andalah ibu yang bertuah!
"Beritahu mereka bahawa tak salah menyayangi ibu bapa tiri. Bukannya cucuk anak suruh benci, tapi hang tak bela anak hang, mak tiri yang bela," katanya.
Pada masa sama, Faezah turut menasihati ibu-ibu tiri di luar sana untuk tidak mengharapkan sebarang balasan daripada segala pengorbanan yang dibuat selama ini.
"Kepada ibu-ibu tiri, ingatlah, sesiapa pun boleh menjadi seorang ibu. Menjadi seorang ibu tidak memerlukan pertalian darah, ia hanya perlukan diri anda untuk seseorang yang anda sayang.
"Mak tiri, jagalah anak-anak tiri tanpa mengharapkan apa-apa bila anda dah tua. Buatlah dengan ikhlas sebab kalau mengharap nanti sendiri kecewa," katanya.
Faezah mendirikan rumah tangga dengan pengarah Heykal Hanifah pada September 2011.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Dealova Heyrinna, 7, dan Auroroa Heyrinna, 4.
Faezah turut menjaga tiga anak tirinya, Luqman Hakim, Sarah dan Luq Adam.
#Faezah Elai #Anak Tiri #Ibu Tiri