Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Jakim Sahkan Premis Minuman Herba Tular Hanya Ada Satu Produk Yang Disijilkan Halal

Mya Amri
10/12/2023 11:55 MYT
Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan premis minuman herba yang tular baru-baru ini hanya mempunyai satu produk yang disijilkan halal.

Produk yang dimaksudkan adalah iproduk minuman herba bertin.

Menurut JAKIM, syarikat berkenaan bukanlah pemegang sijil halal bagi skim premis makanan sebaliknya merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) hanya bagi skim produk makanan dan minuman sahaja.

“Tular di media sosial berkenaan status halal premis minuman herba yang didakwa mempunyai pensijilan halal oleh JAKIM.

“Hasil semakan kami, syarikat bagi premis tersebut bukanlah pemegang sijil halal bagi skim premis makanan.

“Syarikat berkenaan adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) hanya bagi skim produk makanan dan minuman sahaja.

“Produk yang dipersijilkan halal hanyalah produk minuman herba bertin,” jelas kenyataan tersebut di Facebook rasmi mereka.

Dalam pada itu, JAKIM juga turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sesuatu yang tidak diyakini halal.

“Oleh itu, para pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada sebelum memilih sesuatu produk atau premis yang ingin dikunjungi.

“Pastikan produk atau premis tersebut adalah merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah daripada JAKIM,” maklum kenyataan itu.

Terdahulu, sebuah premis menjual minuman herba tular di media sosial selepas orang ramai mendakwa salah satu produk yang dijual dapat mengurangkan batuk dan sakit tekak.

#Tular #jakim #Halal #Jabatan Kemajuan Islam Malaysia #Minuman Herba