Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jalan Cerita, Gaya Lakonan & CGI Taruhan Buah Tangan Baharu Syahmi Sazli Dalam 35mm

Izwan Isa
18/06/2022 08:50 MYT
Pengarah muda berbakat besar, Syahmi Sazli yang telah menggegarkan industri filem tempatan pada tahun lalu dengan hasil karya perdananya, Mael Totey The Movie iaitu Syahmi Sazli kembali dengan naskhah baharu berjudul 35mm.

Menariknya, filem 35mm bukan sahaja mempertaruhkan jalan cerita yang berkonsepkan pengembaraan masa atau time travel, malah turut dipadatkan dengan aksi mendebarkan selain hasil produksi berkualiti tinggi termasuk penggunaan teknik CGI.

“Rentetan daripada sambutan positif dan komen membina daripada terhadap filem Mael Totey The Movie, ia menyuntik semangat untuk menyahut cabaran terus berkarya
menghasilkan filem.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Penerbit Nine Flix Production kerana meletakkan keyakinan terhadap idea ini, dan terima kasih juga kepada pihak Astro kerana membuka ruang platform untuk mempersembahkan filem 35mm,” katanya.

Sementara itu bercakap mengenai cabaran dalam pengarahan, Syahmi berkata, projek kali ini memperlihatkan penggunaan teknik kesan khas yang bukan dalam bidang kepakarannya.

“CGI bukan forte utama saya. Jadi banyak yang saya pelajari dan harap hasilnya boleh diterima ramai. Antara cabaran lain adalah membimbing Yoe dan Asif untuk menjiwai watak dan berlakon dalam situasi yang lebih serius.

“Sebelum ini skrip lakonan kami lebih bersahaja tetapi berbeza menerusi 35mm. Saya mengharapkan 35mm dapat mengubati rindu peminat terhadap konten daripada kami serta filem ini dapat menghiburkan ramai penonton,” katanya lagi.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata: “Pihak kami amat teruja apabila diberi kepercayaan sekali lagi untuk memasarkan filem arahan Syahmi Sazli di platfrom Astro First.

“Melihat hasil akhir filem 35mm, kami yakin ia mampu memperlihatkan transisi berbeza Syahmi Sazli dalam pengarahan dan sudut penceritaan, yang mana ia bukan menghidangkan sekadar jalan cerita santai tetapi turut mengajak penonton menghayati pengorbanan generasi lalu, di samping menikmati babak aksi dan CGI yang memukau.

“Kami berharap karya 35mm kehadiran mampu mengulangi kejayaan filem Mael Totey The Movie serta dapat meneruskan lebih banyak kerjasama bersama Syahmi Sazli di masa akan datang,” katanya.

Dibintangi oleh Syahmi sendiri, Asif Suhaimi dan Yoe Parey, 35mm mengisahkan tentang tiga sahabat, Syahmi, Asif, Yoe yang terperangkap dalam penggambaran ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik. Antara zaman yang dilewati adalah pada tahun Dinasti Cina, zaman jajahan Jepun, pemerintahan British.


Setiap era yang dilewati pasti mempunyai cabaran yang perlu mereka hadapi bagi meloloskan diri. Apabila mereka berada di tahun 1997, Yoe merasa hiba kerana buat pertama kali berjumpa ibu bapanya. Namun mereka perlu kembali di tahun 2020 walau apa cara sekalipun.

Jangan lepaskan peluang untuk melanggan 35mm Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 21 Jun 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.

#35mm
;