Drama bersiri Jalan Sesat Ke Syurga merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada konflik gerakan golongan ekstrimis dan feminis berlandaskan ideologi agama yang terpesong terbitan pihak Astro Prima dengan kerjasama syarikat produksi Nuansa Sdn Bhd.

Drama 35 episod arahan Shuhaimi Zulkefli ini turut mendapat sentuhan sutradara berkaliber, Osman Ali selaku pengarah kreatif serta Siti Jasmina Ibrahim selaku penulis skrip.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, karya ini ditampilkan untuk membawa satu kelainan.

"Sebelum ini, Astro Prima sering menerbitkan kandungan drama yang mengetengahkan format adaptasi kerana fenomena tersebut terbukti mendapat sambutan positif daripada peminat drama Melayu.

"Terbaharu, kami mengangkat naskah asal untuk diketengahkan menerusi drama Jalan Sesat Ke Syurga yang dilihat memiliki kekuatan tersendiri daripada segi naratif penceritaan bagi memberi kelainan dan variasi kepada penonton.

"Berbeza dengan drama Melayu klise yang sering mengangkat konflik cinta dan perebutan kuasa, drama Jalan Sesat Ke Syurga mengangkat isu yang lebih berat dalam mengupas konflik akidah dan ancaman ideologi gerakan pemikiran sesat berlandaskan agama yang tersasar daripada ajaran Islam sebenar.

"Walaupun mengundang kontroversi, namun kami percaya para penonton dapat mengambil iktibar dan menghargai nilai estetika seni yang ingin disampaikan menerusi drama ini," kata Norzeha.

Drama Jalan Sesat Ke Syurga juga turut mempertaruhkan empat pelakon handalan selaku tonggak utama iaitu Datuk Aaron Aziz, Elizad Sharifuddin, Aleza Shadan dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Jangan lupa saksikan Jalan Sesat Ke Syurga yang ditayangkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang.

Ia turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.