Jalani Pembedahan Di Pagi Raya, Ajak Shiro Terima 15 Jahitan
Pelawak dan pelakon Ajak Shiro atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak menerima 15 jahitan selepas jarinya cedera.
“Empat jari saya cedera kerana terkena kaca akibat memegang cermin tingkap di rumah pada malam Aidiladha. Kerana risaukan ada kaca halus yang masuk ke dalam jari, saya harus menjalani pembedahan kecil.
“Di pagi Hari Raya Aidiladha, saya menjalani pembedahan di Kempas Medical Centre, Johor. Hasil pembedahan tersebut, saya menerima 15 jahitan di empat jari. Alhamdulillah, syukur semuanya baik-baik sahaja,” kata Ajak yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Usai pembedahan kecil tersebut, penyampai radio Hot FM itu terus bergegas ke lapangan terbang untuk mengejar penerbangan ke Gold Coast, Australia.
“Saya bersama isteri dan anak-anak bercuti di Australia selama sembilan hari. Percutian ini juga menjadi sebab saya segera menjalani pembedahan kecil tersebut.
“Saya terlebih dahulu berbincang dengan pihak doktor dan selesai sahaja pembedahan, saya terus keluar hospital. Walaupun baru sahaja menjalani pembedahan, saya harus dahulukan percutian ini kerana saya telah berjanji dengan anak-anak,” katanya lagi.