Pengarah Mamat Khalid menegaskan proses penggambaran Kampong Pisang yang dijalankan sekitar awal tahun ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disyaratkan.

Menurut Mamat, perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan tidak menjadi penghalang buat dia dan pasukannya untuk berkarya.

“Kami memang mengikuti sepenuhnya syarat SOP yang dikenakan sewaktu menjalani penggambaran ini. Jurukamera pakai pelitup muka, barisan pelakon pun tidak terkecuali cuma bila kita nak roll babak masing-masing, barulah mereka buka pelitup muka.

“Pada abang, SOP ini tidak langsung menjadi halangan kerana semua pasukan Kampong Pisang ni datang bersemangat sebab nak berkarya. Jadi apa juga SOP yang kena ikut, kami ikut je,” ujar Mamat kepada Gempak sewaktu majlis sidang media virtual Kampong Pisang Bersiri-siri baru-baru ini.

Tambah Mamat lagi, dia turut menyeru orang ramai untuk sama-sama patuh SOP yang telah ditetapkan demi kebaikan bersama.

“Memang ada pihak berkuasa yang datang periksa tempat penggambaran kami, adakah kru semua memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Pada kami, semuanya okay selagi kita semua patuh pada SOP yang telah ditetapkan, tidak langsung menjadi cabaran buat kami yang nak berkarya. Tak rugi patuh SOP ni, semoga kita semua terhindar dari sebarang perkara yang tidak dingini,” jelasnya lagi.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-siri akan bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).