Pelakon Nonny Nadirah mendedahkan dia sedang berteman rapat dengan Niezam Zaidi.

Nonny juga tidak menolak seandainya dia bertemu jodoh dengan pelakon tersebut.

BACA : "Kami Tak Pernah Declare Apa-Apa, Tapi... " - Nonny Nadirah Tak Tolak Jodoh Dengan Niezam Zaidi

Untuk mendapatkan penjelasan daripada kedua belah pihak, Gempak telah menghubungi Niezam untuk mendapatkan komen berkaitan perkara itu.

Niezam turut membuat pengakuan yang sama dan mendedahkan dia tidak mempunyai teman istimewa selain Nonny.

"Apa yang boleh saya katakan, Nonny memang seorang teman istimewa untuk saya, apa yang berlaku antara saya dan dia adalah kerana Allah SWT.

"Saya pun tidak mempunyai teman istimewa lain selain Nonny, bagi saya, hubungan kami sekarang akan menjurus ke arah yang lebih serius," katanya.

Tambah Niezam, dia tidak kisah menjalinkan hubungan istimewa dengan Nonny yang memegang status janda.

"Saya tak kisah tentang status itu, kerana akhirnya, sebagai seorang lelaki, saya tetap akan menunaikan tanggungjawab sebagai suami apabila sudah berkahwin.

"Memang ramai yang tertanya-tanya, tapi biarlah saya fokus dalam urusan mencari pasangan kerana saya dah tak boleh membuang masa," katanya lagi.



Ditanya mengenai langkah seterusnya, Niezam akui sudah merancang untuk menamatkan zaman bujang.

"Perkara baik tak elok jika dibiar lama, urusan sebegini haruslah disegerakan. Saya dah bincang dengan Nonny dan keluarga saya.

"Boleh dikatakan, jika dari pihak saya, memang tiada masalah untuk halalkan hubungan kami, cuma buat masa sekarang, masih ada kekangan masa kerana saya menjalani penggambaran drama sehingga bulan Ogos ini," tuturnya mengakhiri bicara.