Laman Utama
Jamal Abdillah Akui Letih Jaga Anak Kecil - "Tanggungjawab Ini Memang Berat Tapi Syukur"
Penyanyi Datuk Jamal Abdillah akur bukan mudah untuk membesarkan dua orang cahayamata yang masih kecil dengan jarak umur tidak jauh beza. Apa lagi saat ini beliau sendiri sudah mencecah usia 62 tahun.
Kata Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, bukan dia saja yang berasa letih malah isterinya jua, Zai Izzati Khiruddin.
"Anak pertama berusia setahun dua bulan dan baby kedua ini dah dua bulan. Agak meletihkan juga..
"Saya tengok orang rumah saya pun nampak letih sangat. Saya pun ada juga membantu dia dalam menguruskan anak-anak," katanya kepada Gempak.
Jamal ditemui ketika majlis ramah mesra bersama finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) yang diadakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Dalam pada itu, pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir bersyukur kerana diberi peluang untuk memikul tanggungjawab besar.
Tambah Raja Pop Malaysia, beliau menganggap kehadiran anak-anak sebagai peluang untuk dirinya menebus kesilapan lampau.
"Saya bersyukur pada usia sekarang ini masih dikurniakan anugerah cahaya mata dan ia pasti datang dengan tanggungjawab besar untuk saya membesarkan mereka.
"Mungkin ini sesuatu yang Allah kurniakan (anak-anak) untuk saya menebus segala kesalahan-kesalahan masa lalu. Tanggungjawab ini memang berat tapi saya tetap bersyukur," katanya lagi.
Jamal berkahwin dengan Zai Izzati pada April 2017. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal turut mempunyai dua orang putera iaitu Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani.