HIBURAN
Jamal Abdillah Pukau Peminat di Konsert Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura, Siap Bawa Anak-Anak Naik Pentas!
Zepp Kuala Lumpur bergema dengan sorakan gemuruh sebaik sahaja lampu pentas dimatikan, menandakan bermulanya konsert legenda pop tanah air, Datuk Jamal Abdillah, “Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura”.
Lebih 1,200 peminat setia tidak dapat menyembunyikan keterujaan apabila kelibat Jamal muncul di pentas, membawa aura tersendiri yang terus menghangatkan suasana.
Meskipun sudah menjangkau usia 65 tahun, vokalnya tetap padu dan bertenaga, membuktikan kehebatannya sebagai penghibur sepanjang zaman.
Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu dibuka dengan lagu Kau Lupa Janji diikuti Perjalananku serta Kekasih Awal dan Akhir.
Peminat terus dihiburkan dengan lagu malar segar seperti Gadis Melayu, selain medley lagu-lagu popular seperti Nasib Diriku, Ke Mana Ku Bawa dan Sendiri.
Selain persembahan bertenaga, Jamal juga mencuri perhatian dengan gaya santainya berinteraksi bersama penonton.
Senda guraunya membuatkan suasana lebih mesra, menjadikan setiap detik di konsert itu begitu menghiburkan.
Lebih istimewa, di pertengahan konsert, Jamal mengejutkan penonton dengan kemunculan anak sulungnya, Osama Yamani, yang berduet dengannya menerusi lagu Bunga Seroja.
Tidak hanya itu, penyanyi Wany Hasrita turut diundang menyanyikan lagu ikonik Sandarkan Pada Kenangan, mencipta momen penuh emosi buat peminat.
Seolah-olah membawa penonton menyusuri perjalanan seninya selama lebih empat dekad, Jamal turut menyampaikan lagu Aku Penghibur dan Penghujung Rindu membangkitkan nostalgia era kegemilangan muziknya.
Tidak ketinggalan, lagu hits Azura turut didendangkan, menghidupkan kembali memori watak Zack dalam filem Azura (1984) yang pernah dilakonkannya bersama Fauziah Ahmad Daud.
Kemuncak konsert menjadi lebih bermakna apabila Jamal buat pertama kali memperkenalkan anak-anaknya yang masih kecil iaitu Nor Azura Yamani, El Isaac Yamani dan Iskandar Rayyan Yamani ke atas pentas, mencuri perhatian ramai.
Konsert “Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura” bukan sahaja membuktikan keunggulan Jamal Abdillah sebagai lagenda industri muzik Malaysia, malah berjaya memberikan pengalaman yang cukup bermakna kepada peminat yang hadir.
Must-Watch Video