Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

James Wan Lepas Gian Pekena Durian & Laksa, Panjat Tangga Batu Caves!

Amri Hassan
16/12/2023 02:55 MYT
Umpama sireh pulang ke gagang! Pengarah Hollywood kelahiran Malaysia, James Wan kini berada di Kuala Lumpur dalam rangka promosi filem terbaharunya Aquaman And The Lost Kingdom.

Mengakui rindu akan tanah kelahirannya, kata James, 46, inilah peluangnya untuk 'lepas gian' menjamah hidangan yang dirindui selama ini.

"Sampai saja di Kuala Lumpur saya terus order laksa, nasi ayam Hainan dan sudah tentulah durian!," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.

James yang dilahirkan di Sarawak dan membesar di Australia memberitahu dia juga sempat berkunjung ke beberapa lokasi di sekitar ibu kota.

"Semalam saya ke Batu Caves sebab saya tak pernah lagi ke sana sebelum ini. Tak sangka pula tinggi betul. Ya, memang penat nak naik sampai atas.

"Oleh kerana itu juga, saya memang memasang impian untuk memperkenalkan Malaysia dalam projek saya akan datang. Bukan sebab kerana saya berasal dari sini.

"Tapi apabila menaiki Batu Caves dan pulang ke tanah air, Malaysia sangat indah. Cuma saya perlu cari cerita yang paling tepat," tambahnya.

Untuk rekod, Aquaman And The Lost Kingdom merupakan kesinambungan kepada francais filem terbabit yang diterbitkan pada tahun 2018.

"Penonton akan dapat Aquaman menjadi pemerintah di Atlantis, selain bergelar bapa dan suami, dia akan memikul lebih banyak tanggungjawab," ujarnya yang pernah mengarahkan The Conjuring dan Insidious.
#Pengarah #Durian #Sarawak #Aquaman #James Wan #The Conjuring #Laksa #Batu Caves #Jason Mamoa
;