Di saat watak Spiderman 'berjuang' menerusi filem Far From Home yang sedang ditayangkan di pawagam, lain pula kisahnya di Malaysia apabila watak adiwira ini ditahan pihak berkuasa.

Perkara itu dikongsi di laman Facebook milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) sejak semalam dan sehinga kini telah menerima pelbagai reaksi warganet.

Difahamkan, Spiderman yang ditahan pihak Imigresen Melaka itu merupakan warga Bangladesh yang memakai kostum bagi menjana pendapatan di sekitar bandaraya bersejarah tersebut.

"Lelaki tersebut menggunakan pas pelancongan sebelum ditahan Imigresen.

"Pandai cari makan, sekali tangkap gambar dengan dia kena caj RM5 hingga Rm10," tulis MyWatch di Facebook.



Sementara itu menerusi mStar, Timbalan Presiden Kelab Perniagaan Pelancongan Melaka, Dennis Samford memuji tindakan pegawai Imigresen negeri menahan 'Spiderman' berkenaan.

Menurutnya, warga asing itu memperoleh wang dengan cepat dengan bergambar dengan pelancong luar.

"Individu itu boleh menjana RM1,000 sehari pada masa puncak," katanya.