Hiburan
"Jangan Banding, Jangan Kutuk!" - Ernie Zakri Tak Selesa Dibandingkan Dengan Aina Abdul
Finalis Anugerah Juara Lagu ke-34, Ernie Zakri tidak selesa apabila ada segelintir peminat membandingkannya dengan Aina Abdul.
Kata Ernie, situasi itu meresahkan dan boleh menimbulkan rasa kurang senang antara mereka sedangkan kedua-duanya berkawan baik.
"Tak salah masing-masing membuat ramalan sendiri, cuma saya kurang selesa apabila ada sesetengah pihak seakan-akan cuba membandingkan saya dengan Aina.
"Sejujurnya kami punyai hubungan baik dan tiada masalah pun antara kami berdua.
"Bagi saya, perbandingan itu kurang sihat terutama apabila ada antara peminat yang kutuk mengutuk satu sama lain," jelas Ernie kepada Gempak.
Ernie dan Aina diramalkan antara finalis yang bakal berentap untuk merebut gelaran vokal terbaik AJL34 menerusi pertaruhan lagu Ku Bersuara dan Sumpah.
Tambahnya, dek kerana perbalahan sesama peminat, dia sebagai penyanyi secara tidak langsung menjadi kurang senang.
"Saya tak tertekan pun dengan situasi itu cuma saya berharap peminat dapat menerima perbezaan seseorang artis itu supaya industri kita berkembang maju," ujarnya.
AJL34 bakal berlangsung pada 9 Februari di Axiata Arena Bukit Jalil.
Selain Ernie dan Aina, 10 lagu lain yang bakal berentap dalam AJL34 antaranya Anta Permana, Rampas, Dinda, Bangun dan Kisah Cinta Kita.
Must-Watch Video