Hiburan
Jangan Bandingkan Anak Selebriti - Yana Samsudin
Sudah menjadi satu kebiasaan untuk sesetengah golongan netizen yang tidak bertanggungjawab untuk membandingkan anak-anak selebriti dari segi rupa paras, kecomelan dan sebagainya.
Perkembangan yang berlaku di zaman kepesatan media sosial ini dilihat sebagai satu gejala yang kurang sihat.
Pelakon yang baru bergelar ibu, Yana Samsudin meminta agar peminat tidak membandingkan anak-anak selebriti.
“Pada pendapat saya, setiap bayi atau anak-anak selebriti mempunyai perbezaan. Tak semuanya sama. Jadi, tidak boleh membandingkan mereka. Tak adil untuk anak-anak dibandingkan kerana mereka semuanya mempunyai keistimewaan sendiri.
“Setakat ini, kejadian tersebut ini tidak berlaku lagi kepada anak saya. Namun begitu, saya tahu apa yang berlaku berdasarkan pemerhatian saya menerusi kejadian sebelum ini yang terjadi kepada anak selebriti lain.
“Apa yang boleh saya tegaskan, sebagai pengguna media sosial, kita perlu ‘menjaga jari’. Setiap perkara ada adab dan batasnya, termasuklah cara kita bergaul di media sosial,” kata Yana kepada Astro Gempak.
Membuka akaun Instagram untuk anaknya, Aisy Mateen, Yana tidak kisah anaknya menjadi perhatian peminat dan pengguna media sosial.
“Sebagai seorang selebriti, sudah menjadi lumrah untuk peminat mengambil perhatian mengenai kerjaya dan juga kehidupan peribadi. Saya mengambil pendekatan untuk dekat dengan peminat menerusi laman Instagram dan anak saya juga mempunyai akaun Instagram sendiri.
“Setakat ini, akaun Aisy Mateen mempunyai 139,000 pengikut. Saya faham yang peminat dan pengikut saya juga mahu melihat perkembangan Aisy Mateen. Saya tak kisah jika anak saya menjadi perhatian, asalkan perkara tersebut datang dengan niat baik,” katanya lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal