Berita
Jangan Benci Pada Rohingya Yang Jadi Mangsa Kezaliman - Tun M
Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M).
Memetik laporan AWANI, Tun M sedar kenapa orang Melayu sekarang begitu benci kepada orang Rohingya sedangkan pada mulanya orang Melayu bersimpati dengan mereka dan golongan itu pun memilih untuk datang ke Malaysia kerana simpati tersebut.
"Tetapi apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan perlarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci," katanya.
Tun M menerusi catatan terbaru di laman blognya chedet.cc berkata, negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seharusnya bertindak untuk menghentikan kezaliman oleh Myanmar.
"Kita sepatutnya kecam Myanmar dan (Kaunselor Negara Myanmar) Aung San Suu Kyi kerana kezaliman mereka dan bertindak menolak dagangan dengan mereka.
"Kita juga perlu meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan terhadap Myanmar. Kita juga perlu dedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia," katanya.
Negara ini, kata Tun M, telah beri terlalu banyak suaka kepada pelarian dan mereka sepatutnya pergi ke negara lain yang turut perlu membuka pintu mereka.
Sumber : Astro AWANI
Must-Watch Video