Pelakon, Diana Danielle menafikan dakwaan menerima barang kemas melalui anak mereka seperti yang didakwa oleh suaminya, Farid Kamil.

Diana memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya menerusi ruangan Insta Story.

Menurut Diana, dia juga berasa kurang selesa dengan situasi yang berlaku namun tidak memberikan sebarang reaksi.

“Sebenarnya, saya tak menerima ‘lapan cincin' itu. Dia (Farid) memberikannya kepada anak lelaki saya dan memintanya untuk menyerahkan kepada saya.

“Saya berasa kurang selesa mengenainya, tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang reaksi," coretnya.

Dalam hantaran yang sama, Diana juga meminta Farid supaya berhenti menggunakan anak-anak mereka sebagai orang tengah.

"Saya tak pernah mengucapkan terima kasih sebab saya menolak cincin-cincin itu melalui peguam saya. Tetapi dia menggunakan anak saya untuk serahkan kepada saya.

"Jadi, sekarang apabila sudah terbuka mengenainya, tolong jangan berikan sebarang hadiah melalui anak-anak lagi," tulisnya.


Terdahulu, Farid ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pada Selasa memaklumkan isterinya sudah menerima barangan kemas yang dihadiahkan melalui dua anak mereka iaitu Muhammad dan Aurora.

Farid hadir ke mahkamah bagi menjalani prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.

Selain itu juga turut berlaku prosiding sebutan pertama bagi kes nusyuz yang difailkan oleh pihak Farid pada 6 April lalu.

Tuntutan nusyuz dibuat berikutan Farid tidak dibenarkan pulang ke rumah dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami.