Heroin drama Mr. Grey, Eyra Hazali mengakui amalan sihir yang digunakan oleh orang ramai pada masa dulu hingga sekarang begitu membahayakan.

Menurut Eyra, amalan kurafat yang diamalkan itu harus dihentikan supaya ia tidak memesongkan akidah orang yang mengamalkannya.

"Jangan buat main-main dengan amalan kurafat ini terutamanya minyak dagu kerana ia boleh memudaratkan pengamalnya.

"Pengalaman saya terkena 'minyak dagu' itu sangat merisaukan. Saya seperti 'kena sihir' apabila saya menyukai orang yang mengamalkan amalan itu tanpa sedar.

"Walaupun hanya berlakon dalam drama bersiri 13 Khurafat tapi saya dapat merasai amalan itu amat berbahaya kepada orang yang terkena minyak dagu ini.

"Diharapkan amalan khurafat ini dapat dihentikan supaya ia tidak memesongkan akidah kita sebagai umat Islam," katanya kepada Gempak.

Eyra berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media 13 Khurafat, di Finas Hulu Kelang, baru-baru ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan drama bersiri 13 Khurafat ini untuk mengetahui kesudahan amalan khurafat yang pernah diamalkan.

Selain Eyra, 13 Khurafat turut dilakonkan oleh Azhan Hani, Syafie Naswip, Jasmin Hamid, Mimi Ernida, Liza Abdullah dan ramai lagi.

13 Khurafat bakal menemui penonton pada 17 Oktober ini, pada pukul 11 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).