Hiburan
“Jangan Buat Saya Seperti Meraih Simpati” - Fasha Sandha Kongsi Pengalaman Ketika Diceraikan Bekas Suami
Pelakon Fasha Sandha berkongsi bagaimana dia kekal kuat semasa melalui fasa perceraian suatu ketika dahulu.
Menerusi video temubual bersama Nona di aplikasi TikTok, Fasha, atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, mengakui dia tetap meneruskan penggambaran seperti biasa pada hari yang sama perpisahannya dengan bekas suami.
Jelasnya, dia tidak mahu orang di sekelilingnya merasa simpati dengan keadaan yang menimpanya pada waktu itu.
“Hari saya bercerai, hari itu jugalah saya ada penggambaran drama dan saya tidak langsung minta cuti.
“Tetapi saya dah pesan kepada team produksi untuk tidak sesekali datang peluk saya dan saya mohon untuk buat seperti biasa macam hari yang normal.
“Jangan buat saya seperti meraih simpati. Jadi, itulah kekuatan saya pada ketika itu,” katanya.
undefined
Nasihat kawan
Pada masa sama, pelakon yang terkenal dengan filem Anak Mami Kembali itu menegaskan dia tidak menggalakkan perceraian berlaku terutamanya kepada wanita yang tidak mempunyai kestabilan ekonomi, seperti pekerjaan dan wang simpanan.
Oleh itu, Fasha cuba menasihati rakan-rakan di sekelilingnya untuk mempertahankan rumah tangga mereka jika ia tidak memudaratkan keadaan.
“Ada beberapa kawan saya meminta nombor telefon peguam saya untuk memfailkan kes perceraian mereka.
“Saya kata kepada mereka, tak semua orang kuat untuk jadi ibu tunggal. Pemikiran saya sedikit berbeza pada waktu itu, saya kata mereka tidak boleh menjadi ibu tunggal kerana mereka tidak bekerja dan tiada wang simpanan.
“Jadi, saya tidak galakkan mereka bercerai kecuali kalau sudah tak boleh dipertahankan,” kongsinya.
Sekadar info, Fasha Sandha pernah mendirikan rumah tangga bersama Datuk Rizal Ashram Ramli, atau dikenali sebagai Jejai pada 27 April 2012, namun bercerai pada 20 Januari 2016.
Menerusi perkahwinan itu, Fasha dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Putra Rayfal, 10, dan Putri Raysha Jemaima, 9.
Fasha kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan aktor Aidil Aziz pada Mac 2019, dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira.