Laman Utama

“Jangan Cemari Sekolah Dengan Perkara Tidak Sepatutnya Seperti Lawak Lucah, Double Meaning…” – Pak Nil

gempak
Fiza Kamarudin
04/11/2021
12:40 MYT
Sponsor Banner
“Jangan Cemari Sekolah Dengan Perkara Tidak Sepatutnya Seperti Lawak Lucah, Double Meaning…” – Pak Nil
Pengacara dan pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi berharap usaha memupuk kembali minat golongan pelajar ke sekolah dalam membiasakan norma baharu tidak dicemari atau ditakuti dengan perkara tidak perlu.
Aznil atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil berkata pihak berwajib dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tersebut.
"Kita tak mahu wujud lagi golongan pendidik yang membiasakan lawak lucah termasuk yang 'double meaning' hingga menggalakkan perbuatan rogol membabitkan guru dan pelajar.
“Baru-baru ini ada dakwaan pula masih ada amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di sekolah.
"Saya harap pihak berwajib dan KPM ambil tindakan tegas kepada golongan guru yang bersikap sebegitu. Sudahlah pelajar ini sejak sekian lama tidak ke sekolah dan membiasakan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Sekolah itu bukan satu tempat yang ditakuti.
"Sebaliknya peringkat awal ini, ia patut dianggap lokasi seperti taman permainan untuk menarik minat semula selepas lama 'bercuti'. Kemudian lama lama diterapkan pembelajaran yang menjadi nadi persekolahan," katanya.
Aznil yang ditemui di majlis sidang media pelancaran rangkaian produk Diffenz Junior keluaran Eskayvie khusus untuk kanak kanak di sebuah hotel terkemuka di ibu kota percaya golongan kecil itu juga wajar dilindungi.
Tambahan lagi disaat pandemik ini, kanak-kanak terdedah dengan virus Covid-19 dan perlu sentiasa berwaspada.
"Apabila ada inisiatif pihak produk ini buat suplemen khusus untuk kanak kanak mendapat perlindungan di musim pandemik, saya paling bersetuju.
"Apatah lagi ada golongan ini sudah kembali bersekolah secara bersemuka. Virus jahat ini kita tak nampak, jadi kena sentiasa berwaspada. Golongan dewasa sendiri pun boleh terdedah kepada perkara yang tak diingini, apatah lagi si kecil.
"Sebagai Ikon Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), saya sendiri teruja nak pusing sekolah bertemu mereka sambil bercakap soal perlindungan diri, ilmu dan menekankan kepentingan pengambilan vitamin C dan D," katanya.
Dalam pada itu, di usianya sekarang yang akan genap 59 tahun 6 November ini, Pak Nil dilihat kekal menjaga tahap kesihatannya.
Malah rezekinya sejak awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu turut diberi rezeki sebagai duta produk kesihatan, Eskayvie.
"Ketika PKP pertama, saya sendiri rasa hidup macam gelap. Kerja seni yang sudah dipersetujui pun ditunda malah ada yang dibatalkan. Tapi saya beroleh rezeki sebagai duta jenama produk itu.
"Malah ada rangkaian produknya yang mempunyai testimoni sebagai penguat daya ketahanan diri selain alternatif melawan pelbagai virus termasuk COVID-19.
"Malah saya juga ada meminta bekas penyampai radio Sinar FM, Najman Mohamed yang disahkan positif COVID-19 tahap empat mencuba.
“Alhamdulillah ikhtiar serba sedikit membantu dan pulih. Malah pihak jenama produk ini juga membantu Najman menyelesaikan kos bil hospital atas paksi kemanusiaan," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live