Penyanyi Black Hanifah menasihati artis baharu agar tidak cepat melatah dalam apa juga isu berbangkit.
Penyanyi lagu Sofea Jane itu juga menyarankan agar artis berkenaan mengambil peluang terbaik ketika ini untuk orang ramai lebih mengenalinya.
"Baguslah kalau dia perasan apa yang saya cakap. Pada pandangan saya, kenyataan itu sekadar untuk memberikan kesedaran.
"Dia tak perlu risau pun kerana 'kekurangan' itu adalah keunikan dia.
"Kalau tidak memiliki keunikan itu dia bukanlah sesiapa sebenarnya," kata Black ketika dihubungi hari ini.
Black diminta mengulas mengenai respon artis baru yang menyifatkan kenyataannya kepada media baru-baru ini tidak tepat.
Sementara itu, jelas Black tindakannya memuat naik paparan skrin mengenai komennya terhadap isu warna kulit hanyalah untuk memberikan kesedaran agar tiada lagi ejekan terhadap individu berkulit gelap.
"Sepatutnya apabila timbul perkara sebegini, ambil peluang untuk orang lebih dikenali dan jangan cepat melatah.
"Lebih ramai tak suka lebih banyak publisiti diperoleh dan inilah masanya untuk membuktikan kebolehan dalam industri seni," kata Black lagi.