Pelakon Sharnaaz Ahmad tidak bersetuju apabila ada segelintir wargamaya yang merancang untuk memboikot filem The Original Gangster.

Sharnaaz menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya menjelaskan tindakan tersebut boleh menyebabkan periuk nasi mereka yang bekerja di belakang tabir turut terjejas.

“Nota buat semua yang ingin boikot filem Original Gangster atas sebab personal Syamsul Yusof. Untuk menjayakan filem ini bukan sesuatu yang mudah. Banyak hati dan lelah yang telah dicurahkan.

“Ada anak dan isteri ditinggalkan. Kerja dalam bahaya dan buat stunt yang membahayakan.

“Kualiti yang diberikan oleh semua team dan pengarah adalah yang terbaik Malaysia pernah cipta.

“Bukan gangster yang cuba diangkat, tetapi kualiti daripada gambar, pencahayaan serta aksi-aksi yang besar dan di luar skala biasa filem Malaysia,” tulisnya.

Sharnaaz juga memohon agar wargamaya bijak membuat keputusan dan tidak dipengaruhi emosi yang sedang marah.

“Jadi, sahabatku sekalian, aku yakin jika Malaysia tak mampu hargai karya dan penat lelah setiap kru, pelakon dan pengarah hanya disebabkan mulut satu dua orang yang ingin menghancurkan pengorbanan kami, itu sangat tidak adil.

“Di sini, aku sebagai pelakon, bagus atau tidak. Itu letak tepi. Ini soal tanggungjawab.

“Berlakon di Malaysia tak mungkin ada rumah mahligai atau swimming pool besar padang bola tapi kami berkarya sebab minat dan rasa tanggungjawab.

“Jadi fikirkan sejenak, tergamak kah? Anda kena ingat wahai sahabat ku sayang, ramai lagi mulut dalam team 'Original Gangster' perlu disuap seperti anak-anak dan isteri.

“Jangan sebab amarah anda, dibunuh periuk nasi 60 orang lagi di belakang tabir ini,” jelasnya lagi.

BACA: “Kami Profesional, Personal Is Personal” - Netizen Suruh Tarik Diri, Sharnaaz Ahmad Respon Isu Syamsul & Aaron

Terdahulu, Syamsul mendedahkan punca Aaron digugurkan adalah disebabkan masalah kesihatan yang dialami aktor tersebut selain beberapa faktor lain.

BACA: “Saya Ambil Semua Kesalahan & Bertanggungjawab”- Syamsul Yusof Tak Mahu Isu Dengan Aaron Aziz Dipanjangkan

Syamsul turut menyatakan keputusan tersebut bukanlah pilihannya tetapi melibatkan banyak pihak termasuk produser dan pelakon lain terlibat.

Dalam kenyataan itu juga, Syamsul turut menyebut nama Sharnaaz dan Beto Kusyairy.