“Jangan Diucap Selamat Tinggal, Pada Diriku…” - Penuh Emosi, Ramai Sebak Misha Omar Nyanyi Lagu Allahyarham Siti Sarah!
11/08/2021 15:15 MYT
Penyanyi Misha Omar berjaya menyentuh perasaan pengikut Instagramnya apabila mengalunkan lagu popular milik Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Menerusi satu posting terbaru di Instagram, Misha secara santai membawakan lagu Bersamamu dan ternyata membuatkan ramai sebak dan terharu.
Malah, video berdurasi hampir dua minit itu bagaikan satu momen penuh emosi buat penyanyi tersebut.
“Kesetiaanku tetap bersamamu. Rindu, akhirnya tersedar bahawa kekuatan nama kau bertahan dan kuat dalam industri ni salah satu sebabnya adalah nama kau selalu parking sebelah nama kawan kau.
“Bagaikan magnet sebab bermula di garisan yang sama, akhirnya kau seorang dekat sini.
“Carilah kekuatan sendiri, kawan kak chah dah tak ada,” katanya.
Sementara itu, itu menerusi ruang komen rata-ratanya mengimbau kembali kenangan melihat perjuangan awal Siti Sarah dan Misha dalam dunia hiburan.
“Kak Mitch antara yang berjuang bersama arwah sejak bintang RTM”
“Ya teringat dulu-dulu, Kak Mitch dengan Sarah mula-mula naik”
“Dua sahabat sama lebarkan sayap dalam industri, sebak dengar lagu ni,” tulis beberapa netizen.
Sekadar info, Allahyarhamah Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Penyanyi lagu Kesetiaan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada kira-kira pukul 1.20 petang Isnin.
Allahyarhamah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di PPUKM.
BACA: Siti Sarah Meninggal Dunia