Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jangan Doa Untuk Jadi Kaya, Sebaiknya Doalah Untuk Mampu Beri Manfaat Kepada Orang Lain... Lihatlah Kesannya!

Gempak
19/10/2023 23:20 MYT
Begitulah kehidupan. Kita baik, ramai sayang. Kita jahat, pasti menjadi kebencian semesta alam. Justeru, buatlah sebanyak mungkin kebaikan di dunia ini, agar hasilnya dapat dituai di akhirat nanti. Dalam setiap doa yang kita panjatkan, pasti tidak pernah tertinggal permohonan untuk menjadi kaya, kaya dan kaya, kan?

Inilah doa paling digemari kebanyakan orang termasuk saya sendiri. Kita selalu melihat kekayaan itu sebagai modal paling penting untuk rasa sempurna dan sejahtera. Kita kata kalau kita kaya, kita akan bantu orang yang memerlukan. Kita janji lagi, dengan kekayaan itu nanti kita mahu menjadikannya sebagai aset kita di akhirat nanti. Tepatkah?

Buat kebaikan kepada orang, jauh lebih tinggi nilainya
Kita selalu mohon kekayaan supaya kita boleh tolong orang. Sama umpamanya, kalau kita dah kaya, barulah kita mahu sedekah. Seolah-olah kalau miskin, kita tidak mampu menyumbang apa-apa. Benarkah begitu? Sedangkan Rasulullah sendiri berpesan, jangan tunggu kaya untuk bersedekah. Malah, bersedekah tidak mungkin menjadikan seseorang itu miskin.

Jadi, kenapa kebanyakan kita suka bersikap tunggu dan bertangguh untuk berbuat kebaikan sesama makhluk? Ubahlah sedikit doa kita atau tambahkan dalam doa harian itu dengan harapan Allah berikan kemudahan untuk kita agar dapat membawa manfaat kepada orang lain. Jadikan kita orang yang sentiasa berpeluang untuk berbuat kebajikan.

Barangsiapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan membantu keperluannya (HR Bukhari – Muslim)

Barangsiapa memudahkan orang lain yang sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat (HR Muslim)

Bagaimana memberi manfaat kepada orang
Jika seseorang memohon pertolongan, bantu semampunya jika ada kudrat untuk mengurangi bebannya.

Memberi manfaat tidak semestinya dengan wang ringgit. Jika kita tidak mampu daripada segi kewangan, mungkin boleh dibantu daripada segi tenaga, masa dan lain-lainnya.

Jangan ada sifat bertangguh dalam membuat kebaikan atau kebajikan jika kita sudah tahu ia membawa manfaat.

Buatlah kebaikan kepada sesiapa tanpa mengira kepentingan peribadi atau mengharap sanjungan. Sebaik-baik pertolongan itu, biarlah dirahsiakan. Besar ganjarannya.

Mudahkan urusan orang, maka Allah akan mudahkan urusan kita kelak.

Dahulukan kebaikan itu kepada kaum kerabat, saudara terdekat atau jiran tetangga.

Selalulah mendekati orang-orang yang lebih susah daripada kita, bertanya khabar dan keperluan yang mungkin dapat kita bantu wujudkan.

Setelah diberi bantuan, ikhlaskan hati dan jangan sesekali diungkit kembali untuk elak hilang segala ganjaran pahala dan nikmat. Semoga bermanfaat.

;