Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat, khususnya ahli politik, agar bermuhasabah supaya negara tidak diheret ke kancah politik yang tidak menentu, lapor AWANI pada 16 Oktober 2020.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Baginda menjelaskan negara masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan sukar akibat ancaman wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat Baginda kepada ahli-ahli Parlimen semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Mei lalu.

“Baginda menuntut kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata Baginda turut menegaskan ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, sebaliknya menyelesaikannya melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Suhu politik tanah air negara kembali panas susulan sidang media pada 23 September lepas oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

Susulan itu, Ketua Pembangkang itu telah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lepas bagi menjelaskan kenyataan tersebut.

Bagaimanapun Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar sekadar mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau tanpa mengemukakan senarai nama bagi mengukuhkan dakwaan itu.

Susulan tindakan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihati Anwar agar akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Untuk perkembagan kes COVID-19 di negara kita hari ini, jumlah kes baru mencatatkan sebanyak 629 kes, 2 daripadanya merupakan kes import dan 627 kes tempatan.

Jumlah kes keseluruhan pula adalah sebanyak 18,758.

Kes sembuh hari ini mencatatkan jumlah sebanyak 245 menjadikan jumlah sembuh secara keseluruhan mencecah 12,259 setakat ini.

Jumlah kes aktif yang sedang dirawat adalah seramai 6,323 pesakit dimana 99 daripadanya dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 31 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan, terdapat 6 kes kematian baru hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan di Malaysia sebanyak 176.

Orang ramai dinasihati untuk sentiasa menjaga kesihatan, kerap membasuh tangan dengan sabun atau gunakan 'hand sanitizer' selepas menyentuh permukaan berisiko.

Elakkan tempat sesak dan patuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Perkembangan terkini Jangkitan #COVID-19 di Malaysia, 16 Okt 2020 Kes sembuh=245 Jumlah kes sembuh= 12,259 kes Kes positif= 629 (kes import=2, kes tempatan=627) Jumlah positif= 18,758 kes Kes kematian=6 Jumlah kes kematian= 176 kes Kes dirawat di ICU= 99 kes Bantuan Alat Pernafasan= 31 kes

A post shared by Kementerian Kesihatan Malaysia (@kementeriankesihatanmalaysia) on


Sumber : Astro AWANI & Instagram KKM