Berita
Jangan Hisap Dadah, Nanti Jadi Bodoh - Taj Innuendo
Penyanyi kumpulan Innuendo, Ahmad Tajuddin atau Taj meluahkan apa yang terbuku di hatinya selepas insiden dituduh terlibat dalam kes pelakon, Datuk Farid Kamil, baru-baru ini.
Menerusi entri pedas di Facebook, Taj menjelaskan perkara sebenar yang terjadi dan menasihati individu terbabit supaya lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara.
Status yang dimuat naik itu juga tidak ditujukan kepada sesiapa, namun netizen dan peminatnya seolah-olah dapat meneka akan individu yang dimaksudkannya.
"Saya dituduh melakukan sesuatu yang mustahil saya lakukan kerana saya tiada di tempat kejadian. Kami tidak pernah bertemu. Beliau bukanlah seorang kawan, malah kami juga bukan kenalan.
"Yang sebetulnya terbongkar di sini bukanlah penglibatan saya, tetapi keperibadian beliau sendiri. Bagaimana kita mahu mempercayai seseorang yang daya ingatannya sendiri diragui?
"Saya ulangi, perangai bergantung kepada diri sendiri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk beliau menjadi seorang lelaki dan menanggung natijah dari pilihannya.
"Jika namanya Lelaki, kata-katanya yang harus dipegang. Jika kata-katanya tidak boleh dipercayai, apatah lagi peribadinya?
"Seorang lelaki itu dinilai atas dua perkara yang utama. Yang pertama, kata-katanya. Dan yang kedua, keluarganya. Mari kita renungkan kedudukan beliau dalam kedua-dua hal itu," tulisnya.
Menerusi status itu juga Taj turut memohon kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya supaya memaafkan pihak yang mendakwa dirinya itu.
"Kepada ahli keluarga dan para sahabat yang turut terkesan akibat dari peristiwa ini, saya mohon agar dimaafkan beliau atas keterlanjurannya.
"Usahlah dicerca seseorang yang sudah sediakala mencela dirinya. Manusia mempunyai berbagai ragam dan kemampuan akal yang juga pelbagai.
"Akhir kata, saya ingin menyampaikan sepotong wasiat kepada generasi anak-anak kita: Jangan hisap dadah, nanti jadi bodoh," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Taj dan penyanyi yang juga pengarah dan penerbit pengiklanan, Ahmad Fairuz Ahmad Rosli, 47 tahun, yang juga dikenali sebagai Os atau Firdaus didakwa memasukkan bahan terlarang ke dalam minuman Farid sehingga mendorong dia bertindak ganas dalam sebuah balai polis.
Selain itu, Farid juga mendakwa mereka memberikannya rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah
Must-Watch Video