Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim meluahkan rasa kesalnya terhadap segelintir masyarakat termasuk golongan selebriti yang mengharapkan bantuan kerajaan disebabkan COVID-19.

Rizalman menerusi ruangan IGTVnya di Instagram (IG) malam tadi turut terkilan dengan penghinaan dilemparkan kepada golongan B40.

“Saya baca DM dan kicauan di Twitter ramai orang kepada saya, golongan artis dan orang-orang kaya ini jangan jadi buta perut sangat boleh tak? Hang pa dah memang siap sedia buta perut. Akal buh tang mana?

“Bila jadi benda macam ni, lagilah hang pa jadi buta perut. Makana pa ceq oi? Semut hitam ka?,” luahnya dalam loghat utara.

Rizalman turut terkilan kerana isu mengenai bantuan kepada golongan artis ini dimulakan mereka sendiri sehingga memberi kesan kepada orang lain.

“Kalau duduk diam-diam tak buka mulut hang pa yang pekung tu tak apa. Duduk diam-diam…kalau tak boleh keluar benda yang elok , jangan berani-berani duk cuit sana-sini.

“Jangan tunjuk kata dalam ni kosong!,” katanya kesal sambil menggerakkan kepala ke kiri dan kanan.

Dalam pada itu Rizalman turut menasihati agar selebriti atau golongan T20 sentiasa beringat dan sediakan payung sebelum hujan.

“Sebab itu kita ni kedai asingkan duit untuk tujuan kecemasan. Supaya bila benda macam ni berlaku kita tak kelam kabut nak bayar gaji pekerja dan sebagainya.

“Ini tidak, bila ada duit duk tayang pi luar negara main ski pakai beg mahal-mahal,” katanya kesal.

Luahan Rizalman di IGTV selama dua jam itu menjadi tular dan dikongsi ribuan warganet sejak semalam.

Rata-ratanya bersetuju dengan pendapat ‘Fashion Guru’ itu.