Laman Utama
“Jangan Jadikan Bahan Penceritaan Untuk...” - Dilabel Tak Profesional, Ini Penjelasan Nabila Razali
Penyanyi Nabila Razali tampil mempertahankan dirinya apabila dilabel tidak profesional ketika menghadiri sebuah sesi temubual stesen radio swasta baru-baru ini.
Selepas insiden tersebut, muncul satu berita gosip yang ditujukan kepada dirinya di portal radio berkenaan walaupun tidak menyebut namanya.
Menurut Nabila, dia tidak tahu-menahu mengenai gosip terbabit namun sekiranya dia membuat kesilapan sepatutnya dia diajak berbincang.
"Sekiranya stesen radio itu ada masalah dengan saya janganlah dijadikan bahan penceritaan untuk orang ramai.
"Saya datang ke stesen radio berkenaan untuk tujuan promosi drama dan lagu. Jika diikutkan temubual itu dibatalkan tapi pada saat-saat akhir saya diminta datang. Waktu itu pun saya tak anggap pergi bekerja sebab semua dah macam kawan-kawan.
"Bagi saya, ia bukan isu yang perlu dibesarkan. Kalau ada masalah boleh ajak saya borak atau berbincang.
“Saya juga baru dalam industri dan ada banyak lagi benda saya perlu belajar. Sebagai manusia, itu mungkin satu perkara yang saya terlepas pandang.
“Namun apa yang ingin ditegaskan, kalau ada benda yang saya buat tak kena, boleh jumpa saya dan jangan dijadikan bahan cerita," jelasnya.
Nabila ditemui ketika majlis pelancaran video muzik Peluang Kedua versi baru yang diadakan di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya.
Menerusi ruangan gosip yang dimuat naik portal stesen radio berkenaan, penyanyi itu didakwa menjawab panggilan telefon sebuah stesen radio lain ketika penyanyi itu berada dalam konti stesen radio terbabit.
Menurut Nabila, dia tidak menyangka perkara sekecil itu boleh timbul sedangkan dia memberikan kerjasama yang baik kepada stesen radio berkenaan.
"Saya enggan memanjangkan isu ini. Jujur tak sangka perkara ini boleh timbul lepas saya mempromosikan kerja yang dilakukan. Jika diikutkan pada hari kejadian saya buat sahaja perkara yang tiada dalam perancangan, tapi masih lagi berikan komitmen.
"Kalau nak cakap saya berkira, tak pernah saya berkira dengan sesiapa. Bagi saya, benda yang boleh diajak berbincang, tak perlu nak jadikan isu.
"Namun kalau betul saya mengguriskan hati sesiapa atau mana-mana pihak pada waktu itu, saya ingin mohon maaf. Insha-Allah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi," ujarnya lagi.