Hiburan
“Jangan Klik Link Yang Dihantar Ke Direct Message Korang!” – Instagram Selebriti Malaysia Diserang Hackers?
Sejak semalam, beberapa selebriti tempatan berkongsi tentang mesej yang diterima mereka di kotak mesej peribadi Instagram masing-masing.
Antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Andi Bernadee, Siti Sarah dan Almy Nadia yang mendedahkan mereka menerima mesej perkhidmatan daripada Instagram.
Menerusi mesej tersebut individu yang disyaki penggodam memperkenalkan dirinya sebagai Elizabeth Moat, salah seorang pasukan Instagram.
Individu tersebut meminta penerima menekan pautan yang diberikan kononnya untuk melindungi hak cipta akaun mereka daripada dicabuli.
Mesej tersebut turut menegaskan jika penerima tidak menekan pautan tersebut, akaun laman sosial tersebut akan ditutup dalam masa 24 jam.
Bagaimanapun selebriti yang menerima mesej tersebut bertindak untuk bertanya kepada pengikut masing-masing tentang direct message yang diterima mereka itu.
Selepas menyedari direct message tersebut mungkin dikirim penggodam, beberapa selebriti Malaysia berpesan kepada pengikut masing-masing supaya berhati-hati jika menerima link yang sama.
Terdahulu stesen radio Suria FM membuat laporan polis selepas akaun media sosial Instagram @suriamalaysia tidak lagi dapat diakses, dipercayai digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tujuan laporan dibuat pihak Suria adalah untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dan lebih ramai akaun yang diikuti Suria Malaysia digodam.
Suria FM juga sedang berusaha untuk mendapatkan kembali akaun tersebut dan menasihati pengikut-pengikut akaun Suria Malaysia untuk tidak melayan sebarang DM dan mesej palsu yang menggunakan nama Suria Malaysia atau nama asing.