Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

"Jangan Letak Harapan Terlalu Tinggi Pada..." - Scha Alyahya Komen Isu Kecaman Di Media Sosial

Asraf Aided
17/10/2019 05:47 MYT
Aktres jelita, Scha Alyahya berkongsi beberapa tips untuk kekal positif meskipun berhadapan dengan kecaman netizen di media sosial.

Menurut Scha, seseorang selebriti itu harus kuat dari segi mental dan sentiasa bersikap positif meskipun ketika berhadapan dengan tomahan.

"Sekarang ini zaman media sosial, orang ramai akan cakap apa yang mereka mahu tanpa perlu mengenali seseorang selebriti itu.

"Saya sendiri pernah berhadapan dengan kecaman yang bukan-bukan, ada yang mengutuk tentang diri saya, ada juga yang bercakap buruk tentang anak saya.

"Bagi saya, orang nak cakap apa, cakap lah, saya tahu apa yang saya lakukan, ibu bapa saya juga tahu siapa diri saya, jadi lebih baik untuk ambil perkara itu dari sudut positif sahaja, begitu jugalah yang harus dilakukan oleh selebriti lain untuk mengelakkan tekanan mahupun depresi," ujarnya.

Scha berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan pengumuman peserta Dewi Remaja 2019 bertempat di The Starling, Damansara Utama Selasa lalu.

Tambah Scha, masyarakat juga harus tidak terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada seseorang selebriti.

"Orang ramai juga harus tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada seseorang selebriti kerana semua orang melakukan kesilapan, tiada yang sempurna.

"Tidak perlu bercakap yang bukan-bukan, lebih elok jika bersikap positif dan memberikan sokongan," tambahnya.

Seramai 12 orang telah terpilih sebagai finalis Dewi Remaja 2019 telah diumumkan di majlis tersebut.

Scha Alyahya dipilih sebagai juri tetap bagi bergandingan bersama Yusry Abdul Halim.

Sementara itu, selebriti jelita Amelia Henderson pula dipilih sebagai hos bagi Dewi Remaja musim terbaru ini.

Dewi Remaja 2019 bakal menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 26 Oktober ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
#Scha Alyahya
;