Berita
"Jangan Masuk Campur Urusan Rumah Tangga Orang Dan Tayangkan Di Media Sosial" -Wan Dazrin Buka Mulut Isu Aliff Syukri, Ali Puteh
Pendakwah Da'i Wan Dazrin memberitahu bahawa sebagai pengguna media sosial, seseorang itu tidak sepatutnya mencampuri urusan rumah tangga atau keluarga seseorang.
Katanya, lebih parah lagi apabila satu-satu masalah itu kemudian dikongsikan kepada umum sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi yang menimbulkan mudarat.
"Ramai yang terlupa satu benda, satu benda yang tak patut dibuat dari awal-awal lagi. Nak tahu tak apa dia? Jangan masuk campur urusan rumah tangga atau keluarga orang dan tayangkannya di media sosial.
"Nak bantu datang sahaja bantu. Ceritakan tentang bantuan dan pulang. Ini, tidak, masa tu lah, nak itulah inilah, itu juga jadi pengukur kita ni pandai ke tak guna media sosial," tulisnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya,
Da'i Wan meluahkan hal tersebut sebagai responsnya kepada kontroversi isu perbalahan yang mengaitkan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dan pelawak, Ali Puteh.
Katanya, lebih menyedihkan platform media sosial ini menyebabkan ramai pihak cenderung menghukum seseorang tanpa mendengar daripada kedua-dua belah pihak.
"Bila tak pandai dan tak tahu kelemahan media sosial, apa yang berlaku? Dengar sebelah pihak, hukum sebelah pihak. Kita dah jadi tukang hukum segera.
"Yang lagi bahaya adalah orang yang memulakan, sehingga semua ini terjadi kerana ketidakpandaian. Tak takut ke? Azab menanti kita? Lidah kita, mulut kita dan tangan kita ini semua ada tanggungannya nanti.
"Tolonglah netizen yang beragama Islam. Cukuplah. Janganlah kita jadi ‘penuntut isu’, sibukkanlah diri menjadi ‘penuntut ilmu’ bak kata Ustaz Fahmi yang saya kasihi," pintanya.
Terdahulu, Aliff Syukri yang berkunjung ke rumah balu arwah Abam, Nor Hidayah Mohd Ali mencetuskan kontroversi apabila bertanyakan isu berkaitan peninggalan harta.
Ekoran videonya itu, situasi tersebut kemudian menjadi tegang sehingga mencetuskan perbalahan dua keluarga dan mendapat perhatian netizen.