Malam semalam kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Namun, rentetan daripada pengumuman berkenaan, ada sesetengah daripada orang awam dilihat mula panik khususnya soal pembelian barang keperluan.

Jika anda tergolong dalam golongan berkenaan, apa kata luangkan masa dan 'hadam' tips berguna yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Nurul Kasmadillawati Zakaria ini.

Ini antara langkah panduan yang dikongsi.

#1 Bertenang & Lihat Barangan Dapur Yang Kurang

Anda boleh mulakan untuk melihat barangan dapur yang telah berkurang.

Ambil kertas dan pen kemudian senaraikan apa yang kurang, paling utama ialah beras sebab tu makanan ruji.

Utamakan barang yang penting macam beras, lauk, gula, garam. Kalau ada anak kecil pastikan ada stok susu dan lampin.

Kalau ada bajet lebih boleh beli makanan dalam tin, bihun atau pasta.

#2 Ubat-Ubatan

Kalau anda sakit dan perlu makan ubat setiap hari dan tidak boleh terputus ubat, sila tambah stok ubat.

Ubat adalah sangat penting selain makanan.

Jika ada bajet beli ubat-ubatan asas sikit macam panadol, ubat sakit perut dan sebagainya.

#3 Beli Ikut Keperluan

Beli apa yang awak perlukan sahaja.

Jika tidak guna tisu tandas tidak perlulah beli.

Jangan sebab tengok orang lain beli pun kita pun nak beli juga.

#4 Beli Ikut Kemampuan


Ukur poket sendiri. Jika lihat orang memborong sampai tiga troli, jangan pula kita ikut sama.

Jangan sampai berhutang bayar guna kad kredit.

#5 Jangan Jual Emas

Jangan bergolok-gadai semata-mata nak memborong makanan.

Seeloknya jangan jual emas tapi gunakan wang tunai yang ada. Jangan menyesal di kemudian hari.

#6 Beli Dalam Keadaan Tenang

Jangan panik, jangan berebut dan jangan bertolak-tolak.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan mencukupi dan boleh didapati setiap masa.

#7 Ambil Barang Dalam Jumlah Diperlukan

Jangan lakukan perkara mengarut seperti borong daging burger sampai dua troli, beli telur 30 papan, beli tisu tandas 10 pek, beli mi segera penuh bonet kereta.

#8 Solat

Bagi beragama islam, solatlah lima waktu.

Jangan dilupa, dalam keadaan genting macam ni solatlah talian hayat yang menghubungkan kita dengan Allah.

#9 Sabar

Cuba tengok semula berapa duit yang ada, beli mana yang dapat. Tak boleh beli beras 10kg, beli beras 5 kg atau beras timbang.

Beli setakat yang mampu. Tolak perbelanjaan yang tak diperlukan.

#10 Jangan Tayang Di Media Sosial

Pesanan terakhir tidak perlu tayang barang yang anda borong di media sosial.

Troli penuh, bonet kereta penuh, kabinet dapur penuh.

Perbuatan anda akan mencetuskan panik, menyebabkan orang yang tak mampu beli semakin tertekan.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!