"Jangan Takut, Buat Je Kerja Gila!" - Ini Nasihat Sissy Imann Untuk Bintang Big Stage 2020

Amri Hassan
Ogos 20, 2020 23:15 MYT
Bekas bintang Big Stage musim pertama, Sissy Imann akui terpaksa menunggu selama lima tahun untuk mendapat peluang beraksi di pentas besar seperti Big Stage.
Justeru, kata Sissy, peluang itu harus dimanfaat sepenuhnya oleh bintang yang terpilih untuk bertanding di pentas sama pada tahun ini.
"Big Stage adalah peluang besar. Saya menanti selama lima tahun untuk mendapat platform dan mempamerkan bakat yang ada.
"Jadi, kepada rakan-rakan Big Stage 2020, kalian punyai bakat yang lebih hebat berbanding saya dan ada suara yang mantap.
"Oleh itu gunakan platform ini sebaiknya. Jadi diri sendiri, percaya pada muzik, identiti dan idea gila kalian!" nasihatnya.
Sissy dalam pada itu mengimbas semula kenangannya ketika membuat persembahan pada minggu kedua Big Stage 2018.
Cerita Sissy, dia mempertaruhkan bakatnya bermain piano biarpun dinasihatkan agar 'menyimpan taring' terlebih dahulu.
"Saya mempersiapkan diri dengan rekaan persembahan merangkumi konsep pentas, pakaian dan props yang diinginkan.
"Saya dengarkan draf susunan lagu yang saya buat sendiri kepada produksi dan idea saya diterima baik," kongsinya.
Sissy dinobatkan sebagai juara mingguan menerusi persembahan tersebut.
Jangan lupa saksikan 12 bintang Big Stage 2020 beraksi di konsert minggu kedua pada Ahad ini.
Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.
Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.
Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) setiap hari Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.
#Sissy Iman #Big Stage 2020 #Semoga Abadi