Hiburan
“Jangan Terlalu Cepat Menghukum, Saya Buat Bersebab” - Ini Penjelasan Janna Nick Mengenai #WishServiceByJannaNick
Pelakon dan penyanyi Janna Nick mengakui mempunyai alasan tersendiri mengapa dia mengambil bayaran untuk melakukan #WishServiceByJannaNick di akaun Instagram miliknya.
Menurut Janna, perkara itu dilakukan adalah untuk membantu orang yang lebih memerlukan dan bayaran diterima itu bukan untuk dirinya sendiri.
“Alhamdulillah, ini merupakan langkah awal untuk saya membantu golongan yang memerlukan dan apa saya buat sepanjang minggu lalu mempunyai alasan dan tujuan tersendiri.
“Saya ingin jelaskan bahawa semua bayaran yang dibuat bukan untuk kepentingan peribadi saya, sebaliknya untuk tabung Wish For Their Hope (WFTH).
“Sekarang merupakan masa untuk saya memberi balik pada komuniti kerana bagi saya apa guna kalau ada platfom media sosial jika tidak digunakan dengan betul.
“Walaupun ramai yang memberi kecaman pada awalnya namun saya tidak kisah kerana saya tahu apa yang saya lakukan ini betul.
“Saya berharap agar orang ramai jangan terlalu cepat menghukum dengan apa yang dilakukan oleh sesorang selebriti kerana setiap perkara yang dilakukan ada sebab,” katanya kepada Gempak.
Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis pemberian sumbangan dan dana bagi tabung WFTH di Rumah Kasih Nurul Hasanah, di Ampang pada Rabu.
Sebelum ini, Janna terus diserang netizen selepas kecoh isu dia mengenakan RM50 bagi rakaman ucapan ulang tahun kelahiran mana-mana individu yang berhajat menggunakan khidmatnya.
Malah, posting terbaharu yang dimuat naik aktres tersebut di laman Instagram turut dihujani dengan komen yang kurang senang dengan cara perniagaan itu.
Must-Watch Video