Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menasihati semua pihak agar berhati-hati dengan taktik terkini pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap situasi COVID-19.

Menerusi Instagram Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kerajaan tidak pernah melantik mana-mana agensi untuk menjalankan imunisasi COVID-19 dari rumah ke rumah.

"MKN menasihatkan agar semua pihak berhati-hati dengan taktik terkini pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap situasi COVID-19 yang sedang melanda kini.

"Kerajaan tidak pernah melantik mana-mana agensi untuk menjalankan imunisasi COVID-19 dari rumah ke rumah," kongsi pengendali akaun terbabit.

Justeru, MKN berpesan agar orang ramai tidak membenarkan individu asing masuk ke dalam rumah untuk tujuan tersebut.

"Jangan benarkan sesiapa untuk masuk ke rumah anda untuk tujuan tersebut. Sila ambil perhatian dan tindakan sewajarnya," kongsinya lagi.

Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 673 di Malaysia dengan dua rekod kematian.

Daripada jumlah tersebut, seramai 622 orang sedang dirawat di hospital, manakala 49 orang telah pun pulih.

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!