Nama pelatih pakar bedah Malaysia yang berada di London, Dr. Amalina Bakri meniti di bibir rakyat Malaysia apabila usahanya untuk menyelamatkan nyawa Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, bayi sembilan bulan yang menghidap tumor pada bahagian mulut berjaya.

Sebalik kejayaan itu, timbul pula isu yang dibawa oleh sesetengah netizen yang tidak bertanggungjawab mempertikaikan dan mendakwa doktor tempatan Malaysia tidak membantu untuk menyembuhkan Ainul.

Seakan mengulas isu terbabit, Dr. Amalina memberikan kenyataan di laman sosial Instagram miliknya menerusi ruangan Instagram Stories dua hari lepas.

Pegawai perubatan yang pernah menggegarkan Malaysia dengan pencapaian cemerlang 17A1 menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2004 itu memohon agar netizen tidak membandingkan usaha mana-mana doktor.



"Saya dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua doktor yang telah merawat Ainul, sama ada di Malaysia atau di UK.

"Janganlah dibanding-bandingkan usaha mana-mana doktor. Kami sebagai doktor akan membantu sesiapa sahaja jika mampu tidak kira dimana-mana kami berada, tidak ada kena mengena dengan isu peribadi dan sebagainya," tulisnya.

Tambah Dr. Amalina, apa yang penting pembedahan untuk Ainul sudah pun berjaya dilaksanakan.

"Sudah tertulis rezeki Ainul untuk mendapat rawatan di UK, jangan pula dipersoalkan di mana, yang penting pembedahan sudah berjaya, Alhamdulillah.

"Janganlah menyakiti hati ibu bapa Ainul, anda tidak berada di tempat mereka. Mereka mahu yang terbaik untuk anak mereka," katanya.

Enggan memanjangkan cerita, Dr. Amalina juga memohon semua pihak untuk mendoakan kesejahteraan semua doktor.

"Marilah kita doakan sahaja kesejahteraan mereka dan semua doktor di dunia ini yang banyak berkorban untuk membantu orang yang berada di dalam kesusahan, Amin," tutupnya.